Oleh: Fairus Mohd
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
PEKAN, 18 JUN 2020: Kerajaan Negeri Pahang membelanjakan sejumlah RM6.8 juta bagi projek Rumah Rakyat Pahang melibatkan 98 buah rumah yang dilancar hari ini.
Ia melibatkan pembinaan 84 buah rumah bagi kawasan Dewan Negeri (DN) dan 14 buah rumah bagi kawasan Parlimen di seluruh negeri Pahang.
Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia dibincang dan dipersetujui melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) pada 21Januari lalu.
“Setiap Dewan Negeri (DN) diperuntukkan dua buah rumah dan satu Parlimen akan diperuntukkan sebuah rumah bernilai RM65,000 (rumah seluas 750 kaki persegi dilengkapi tiga bilik).

“Projek ini bukan kerana PRK, tetapi kita sudah berhasrat melancarkannya pada bulan April lalu tetapi terpaksa ditangguhkan berikutan penularan wabak COVID-19,” katanya ketika ditemui pemberita pada sesi pecah tanah Projek Rumah Rakyat Pahang Dewan Negeri Chini Daerah Pekan di Kampung Mempelas, di sini.
Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; Ahli Parlimen Pekan, YB. Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak serta barisan Exco serta pemimpin setempat.
Sementara itu, beliau berkata melalui melalui Tabung Perumahan Rakyat Pahang (TPRP) juga akan melaksanakan usaha membaikpulih rumah-rumah rakyat yang memerlukan.

“Peruntukan sehingga RM10, 000 disediakan bagi membaikpulih rumah yang mempunyai struktur tidak selamat serta mendatangkan risiko kepada penghuni.
“Jumlah nilai bantuan baikpulih yang ditetapkan adalah bergantung kepada kerosakan yang dialami dan setakat ini kita sudah menerima enam permohonan untuk dinilai,” katanya.
Menurutnya, projek pembinaan dan baikpulih rumah rakyat ini akan diteruskan pada tahun seterusnya bergantung pada jumlah kutipan Tabung Perumahan Rakyat Pahang (TPRP). – PAHANGMEDIA