Oleh : Fairus Mohd
KUANTAN, 9 APRIL 2023 : Kemeriahan Ramadan dan Syawal bagi 100 orang anak yatim dan asnaf pada tahun ini lebih bermakna apabila diraikan dalam satu majlis penyerahan sumbangan wang tunai dan berbuka puasa anjuran Persatuan Amal Isteri Wakil-Wakil Rakyat Negeri Pahang (TERATAI).
Pengerusinya, Datin Sri Dato’ Burhah Mohammed berkata, ia merupakan antara program tahunan TERATAI dalam mendekati dan berkongsi rezeki dengan golongan kurang bernasib baik.
“Usaha ini adalah salah satu objektif TERATAI iaitu membantu golongan yang memerlukan dan saya berharap ia akan dapat meringankan beban penerima terutamanya dalam membuat persiapan menyambut perayaan Aidilfitri yang akan tiba tidak lama lagi.
“Kehadiran anak-anak yatim dan asnaf dari sekitar daerah Kuantan hari ini juga merupakan satu peluang untuk TERATAI melaksanakan amal kebajikan terutamanya dalam bulan yang penuh rahmat dan keberkatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Tadarus Al Quran 1444H Fasa 2 dan Majlis Penyampaian Sumbangan Anak-Anak Yatim dan Golongan Asnaf di Hotel Sri Manja, hari ini.
Hadir sama, Naib Yang Dipertua 1 TERATAI, Datin Sri Dato’ Khadijah Ibrahim, Setiausaha Kehormat TERATAI, Datin Norziana Yusoff dan Penolong Setiausaha, Datin Sri Marzita Mansor.
Dalam pada itu, Datin Sri Dato’ Burhah menzahirkan rasa bangga kerana TERATAI terus bijak mengatur dan mengadakan pelbagai program dan aktiviti yang berfaedah.
“Mendokong usaha dilaksanakan suami yang memikul amanah selaku wakil rakyat, TERATAI sendiri tidak akan pernah lupa untuk bersama-sama menjaga kebajikan setiap lapisan golongan masyarakat.
“Kita akan terus bergerak dan menyumbang selagi terdaya bagi memastikan kesejahteraan yang dihajati mampu direalisasikan melalui setiap usaha yang dilaksanakan,” katanya. -PAHANGMEDIA