Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
PEKAN, 09 APRIL 2023 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan berangkat menyantuni golongan asnaf dan miskin Tanah Kesultanan Pekan hari ini.
Seri Paduka Baginda yang tiba pada 3.20 petang dengan memandu sendiri kenderaan diiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.
Ketibaan Seri Paduka Baginda berdua disambut oleh Timbalan Yang di-Pertua MUIP, YAM. Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Naseer Ibrahim Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Baginda berdua telah berkenan bercemar duli mengurniakan sumbangan kepada 116 penerima yang terdiri daripada golongan asnaf dan miskin Tanah Kesultanan Pekan di pekarangan Istana Mangga Tunggal.

Kesemua penerima menerima sumbangan berupa wang kurnia, bubur lambuk, dan kuih raya.
Salah seorang penerima bantuan, Encik Ismail Abdul Majid, 64, dari Kampung Padang Manggis, melahirkan rasa syukur di atas kurniaan daripada Seri Paduka Baginda.
“Alhamdulillah syukur dan sempena bulan Ramadan Al-Mubarak ini dapatlah menambah sedikit perbelanjaan untuk menyambut raya nanti.
“Dapat bertemu dengan Tuanku, Alhamdulillah, dan saya bersyukur dengan rezeki yang saya dapat ini,” katanya yang sebelum ini bekerja dengan Seri Paduka Baginda di Kelab Polo DiRaja Pekan selama 40 tahun.

Sementara itu, menurut Encik Sh. Kamal Sh. Othman, 73, dari Kampung Jalan Padang Buluh pula bercadang untuk menggunakan duit sumbangan bagi membuat jamuan kecil-kecilan bersama keluarga.
“Terima kasih banyak kepada Tuanku diatas kurnia yang diberikan. Saya ingat nak buat jamuan sikit pada hari raya (Aidilfitri),” katanya yang bekerja kampung.

Menurut Encik Abdul Moris Zahari, 69, dari Kampung Panchor turut melahirkan rasa kesyukuran diatas kurnia yang disampaikan oleh Seri Paduka Baginda.
“Syukur (dengan kurniaan yang diterima). Dan saya cadang nak beli kerusi roda kerana kerusi roda saya yang lama dah rosak,” katanya yang mengalami masalah saraf sejak empat tahun lepas selepas mengalami kemalangan motorsikal. -PAHANGMEDIA