Ketua UMNO Bahagian Pekan, Dato' Muhammad Fakhruddin Mohd Ariff

UMNO PEKAN HARGAI KEBERSAMAAN DALAM USAHA MEMBEBASKAN NAJIB

Oleh : Fairus Mohd
Foto : Mahathir Ali

PEKAN, 9 APRIL 2023 : Persetujuan kesemua 191 Ketua UMNO Bahagian seluruh negara untuk merayu pengampunan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong terhadap Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak meningkatkan semangat dan keyakinan kepada UMNO Bahagian Pekan.

Ketua UMNO Bahagian Pekan, Dato’ Muhammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, kebersamaan dalam usaha tersebut amat dialu-alukan dan dihargai.

“Kita amat menghargai kebersamaan dalam sesuatu tindakan dan ini adalah lambang bahawasanya UMNO akan terus bangkit dan kukuh dengan penyatuan yang dibina.

“UMNO Pekan amat berharap agar Lembaga Pengampunan kelak akan mengambil kira hujah Pengerusi Panel 5 hakim, Yang Amat Arif Dato’ Abdul Rahman Sebli dalam permohonan semakan yang menyebut secara jelas berlakunya penyelewengan keadilan dan hak Dato’ Sri Najib untuk mendapat perbicaraan yang adil telah dinafikan,” katanya dalam satu sidang media yang diadakan semalam.

Dalam pada itu beliau berkata, UMNO Bahagian Pekan mendesak pihak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimon binti Tuan Mat serta empat orang panel Hakim Mahkamah Persekutan yang bersama dengan beliau telah menolak rayuan Dato’ Sri Mohd Najib pada 23 Ogos 2022 yang lalu.

“Desakan tanpa mengurangkan rasa hormat terhadap Badan Kehakiman Negara ini turut berlandaskan hujah Yang Amat Arif Dato’ Abdul Rahman Sebli iaitu ‘Keadilan bukan semata-mata menentukan seseorang itu bersalah atau tidak bersalah. Orang yang dituduh itu mesti mendapat perbicaraan yang adil. Dia juga mesti merasakan dia diberi perbicaraan yang adil. Jika sistem tidak dapat menyediakan ini, lebih baik dia tidak dibicarakan sama sekali’.

“Bersandarkan kepada hujah ini, maka kerajaan perlu menubuhkan RCI bagi menyiasat sebarang salahlaku demi memelihara integriti dan keyakinan rakyat kepada Badan Kehakiman negara,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram