KUTUK TINDAKAN BIADAB ISRAEL TERHADAP RAKYAT PALESTIN – YAB MENTERI BESAR PAHANG

KUANTAN, 8 APRIL 2023 : YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail mengecam serta mengutuk sekeras-kerasnya tindakan biadab yang dilakukan oleh pasukan polis Israel ke atas rakyat Palestin ketika sedang beribadat di Masjid Al-Aqsa pada 5 April lalu.

Beliau berkata, tindakan yang dilakukan oleh Rejim Zionis ini jelas memperlihatkan tidak berprikemanusiaan serta tidak menghormati hak penduduk Palestin untuk beribadat di Masjid Al-Aqsa lebih-lebih lagi di bulan Ramadan yang mulia ini.

“Saya dimaklumkan ketika kejadian, umat Islam Palestin sedang menunaikan solat Tarawih di masjid berkenaan sebelum polis Israel melakukan serangan dengan menggunakan gas pemedih mata dan belantan sehingga menimbulkan kekecohan,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.

Naib Presiden UMNO itu juga berkata tindakan Israel ini juga akan menimbulkan ketegangan di seluruh Palestin serta seluruh umat Islam lebih-lebih lagi Masjid Al-Aqsa merupakan antara tempat suci bagi umat Islam.

Malah katanya, kejadian seperti ini sering kali berlaku ketika pendatang haram Yahudi meraikan perayaan yang dinamakan Pesach (Passover) di mana mereka dengan biadabnya akan cuba untuk menceroboh masuk ke Masjid Al-Aqsa.

“Saya melahirkan sokongan terhadap ketetapan Kerajaan Malaysia yang menyeru masyarakat antarabangsa khususnya Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu agar tidak menutup mata akan isu ini kerana sudah banyak kali kejadian sama berlaku ke atas rakyat Palestin yang dengan jelas melanggar hak asasi kemanusiaan.

“Saya juga berharap agar seluruh umat Islam terutamanya di negara ini dapat menunjukkan solidariti mereka terhadap nasib yang menimpa saudara-saudara kita di Palestin.

” Saya berdoa semoga Allah SWT terus memberikan kekuatan serta ketabahan kepada rakyat Palestin dalam menghadapi ancaman serta tindakan biadab Rejim Zionis ke atas mereka,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram