Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 07 APRIL 2023 : Kerajaan Pahang mengalu-alukan lebih banyak Pelaburan Langsung Asing (FDI) dari China terutamanya dalam industri teknologi tinggi, penyelidikan dan pembangunan bagi industri automotif serta penerbangan.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sehingga tahun 2022, Pahang telah berjaya menarik RM11.01 bilion FDI dengan RM5.6 bilion adalah daripada Republik Rakyat China.
“Pengembangan Alliance Steel (M) Sdn Bhd, anak syarikat daripada Guangxi Beibu Gulf Iron and Steel Co Ltd dari China merupakan penyumbang terbesar Pelaburan Langsung Asing.
“Oleh itu, kita boleh mengatakan bahawa MCKIP (Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China) dan CMQIP (Taman Perindustrian Qinzhau China-Malaysia) dapat menjadi model taman industri yang berjaya di mana ia dapat menarik minat pelabur daripada pelbagai sektor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada ‘Tahun Melabur Di China’ (Menyambut Baik ASEAN) Dan Sambutan Ulang Tahun Ke-10 Penubuhan MCKIP Di Bawah China-Malaysia ‘Dua Negara, Taman Berkembar’ di Hyatt Regency Resort di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Pengangkutan, YB. Encik Anthony Loke; YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak; Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib; Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang, YB. Sim Choon Siang; Duta Besar China Ke Malaysia, Encik Ouyang Yujing; Timbalan Menteri Perdagangan China, Encik Chen Chunjiang; dan Setiausaha Jawatankuasa PC Guangxi, Republik Rakyat China, Encik Liu Ning.
Sehubungan iru, beliau berkata, MCKIP memainkan peranan yang penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi di negeri Pahang dan negara secara keseluruhannya.
“Taman perindustrian ini telah menarik lebih daripada 50 syarikat antarabangsa serta mewujudkan lebih 10,000 pekerjaan untuk masyarakat tempatan.
“MCKIP juga telah memberikan impak yang sangat besar, dengan jumlah pelaburan mencecah RM30 bilion sehingga kini. Ianya juga merupakan taman perindustrian yang pertama di Malaysia yang dibangunkan bersama kedua-dua negara iaitu Malaysia dan China, yang diberikan status sebagai Taman Perindustrian Negara.
“Pembinaan bagi fasa kedua dan ketiga MCKIP sedang berjalan dengan baik, dan dijangka fasa ketiga akan menghubungkan Pelabuhan Kuantan dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), di mana pembangunan ini akan mengubah kawasan MCKIP menjadi Bandar Pelabuhan Kuantan sebagai bandar yang kondusif,” katanya. -PAHANGMEDIA