Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
BERA, 04 APRIL 2023 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan merasmikan masjid Al-Musowwir Kampung Baru Bor di sini hari ini.
Baginda yang tiba pada jam 7.02 petang dengan memandu sendiri kenderaan telah disambut oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Seterusnya baginda berkenan bercemar duli mengurniakan sumbangan kepada 100 penerima daripada golongan memerlukan di daerah Bera.
Baginda kemudiannya berangkat menyempurnakan acara menandatangani papan tanda perasmian masjid yang selesai dibina 31 Jun 2016.
KDYMM Pemangku Raja Pahang seterusnya berkenan berbuka puasa dan solat Maghrib berjemaah di masjid yang dapat memuatkan 210 jemaah pada satu-satu masa ini sebelum berangkat pulang.
Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hj Mohd Sharkar Haji Shamsudin; Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan; Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; dan Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB. Cik Leong Yu Man. -PAHANGMEDIA