Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
BENTONG, 4 APRIL 2023 : Pantai Hiburan di Rompin menjadi lokasi pertama bagi pembangunan ‘Caravan Park’ di Malaysia yang akan dimajukan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan (PSK) Negeri Pahang bersama Helmut Knaus KG CampingParks.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pembangunan ‘caravan park’ ini dilihat sangat berpotensi dan mendapat sambutan daripada masyarakat di negara ini.
“Kita mendapati bahawa ‘caravan park’ ini harus kita buat di negeri kita (Pahang) kerana saya fikir sudah sampai masanya di mana masyarakat sekarang ini tidak seperti dahulu lagi, dahulu kalau mereka pergi ke mana-mana kena mencari hotel dan sebagainya tapi dengan adanya ‘caravan park’ ini dan kita dapati sambutan daripada masyarakat agak baik jadi kita minta mereka datang ke Pahang.
“Mereka pun telah mengkaji dan mendapati bahawa ada potensi ‘caravan park’ ini dibuat (dibangunkan) di Pahang,” katanya selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Pembangunan ‘Caravan Park’ di Pantai Hiburan di Rompin di antara Pejabat Setiausaha Kerajaan (PSK) Negeri Pahang dengan Helmut Knaus KG CampingParks di Majlis Perbandaran Bentong di sini hari ini.
MoU ini telah ditandatangi oleh YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak dengan wakil Helmut Knaus KG CampingParks, Mr. Maximilian Helmut Gregor Haubner.
Helmut Knaus KG CampingParks memperuntukkan sebanyak RM500 juta bagi pembangunan ‘Caravan Park’ di Malaysia dengan Rompin di Pahang menjadi menjadi projek pertama di negara ini dan dapat dibangunkan dalam tempoh setahun. – PAHANGMEDIA