Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 03 APRIL 2023 : Dua projek naiktaraf laluan Gambang ke Segamat dan pembinaan jambatan menghubungkan bandar Kuantan ke Tanjung Lumpur dijangka dapat diselesaikan pada tahun ini.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata bagi projek naiktaraf jalan Jabor-Jerangau pula dijangka selesai pada 2025.
“Saya diberi penjelasan oleh pihak kontraktor yang terbabit bahawa jambatan di Tanjung Lumpur ke Kuantan merentasi Sungai Kuantan boleh disiapkan pada bulan Ogos 2023.

“Jalan Gambang saya diberitahu pihak terbabit akan diserahkan pada bulan Mei 2023 nanti manakala jalan Jabor-Jerangau ini pula masih lagi dalam pembinaan dan dijangka selesai pada 2025,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri sesi taklimat dan program lawatan kerja ke Projek Naiktaraf Jalan FR03 dari Persimpangan Jabor-Jerangau di Balok hari ini.
Beliau sebelum itu, turut mengadakan lawatan kerja dan mendengar taklimat berkenaan projek pembinaan jambatan merentasi Sungai Kuantan dari bandar Kuantan ke Bandar Putra Tanjung Lumpur.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri Pahang sentiasa memastikan projek yang sedang berjalan di negeri dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan bagi memberi keselesaan kepada rakyat.
Beliau turut meminta orang ramai supaya bersabar ketika menggunakan laluan yang terlibat kerana projek yang dijalankan ini adalah demi keselesaan mereka di masa hadapan. – PAHANGMEDIA