YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail yang hadir pada Kembara Perpaduan Program Gerak Rahmah 2023 Jom Masak Bubur Lambuk yang diadakan di Dewan Komuniti Kampung Simpang Kallang di Raub

PROGRAM JOM MASAK BUBUR LAMBUK PERMULAAN BAIK PUPUK PERPADUAN

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

RAUB, 1 APRIL 2023 : Penganjuran Program Gerak Rahmah 2023 menerusi Jom Masak Bubur Lambuk dapat menjadi satu permulaan yang sangat baik dalam menjayakan Kerajaan Perpaduan.

Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB. Cik Leong Yu Man berkata, kepelbagaian masyarakat majmuk di Malaysia memerlukan semangat bersatu padu bagi memastikan negara berada pada landasan kemajuan untuk mengorak maju dalam menerajui ke peringkat antarabangsa.

“Malaysia sebagai satu negara terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum dan agama, masyarakat majmuk, jadi untuk memajukan negara semua rakyat Malaysia perlu berganding bahu tanpa mengira perbezaan kaum, agama dan bangsa, kalau kita betul-betul bersatu hati saya amat yakin bahawa Malaysia dan Negeri Pahang mampu untuk maju dan dapat menerajui di arena antarabangsa.

“Kita berharap bahawa semangat bersatu padu, berganding bahu dan perpaduan ini adalah semangat yang perlu dipupuk dan diteruskan,” katanya ketika ditemui selepas mengiringi YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail yang hadir pada Kembara Perpaduan Program Gerak Rahmah 2023 Jom Masak Bubur Lambuk yang diadakan di Dewan Komuniti Kampung Simpang Kallang di Raub, petang tadi.

Hadir sama ialah Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Encik Fadzli Mohamed Kamal, Ahli Parlimen Raub, YB. Chow Yu Hui, Ketua UMNO Bahagian Raub, YH. Dato’ Abdul Aziz Haji Mat Kiram, Ketua-Ketua Jabatan dan pemimpin setempat.

Program ini turut mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak dan agensi antaranya adalah jabatan-jabatan kerajaan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Raub, Kem 505 Wataniah, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tengku Ampuan Afzan, UiTM Raub, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Daerah Raub, Petronas, Adabi, Grab dan Pejabat Belia Daerah Raub.

YB Cik Leong Yu Man turut mengalu-alukan dan berterima kasih kepada semua pihak yang bertungkus lumus menjayakan Program Jom Masak Bubur Lambuk dan berjaya mencapai matlamat bagi memupuk perpaduan dan menyatupadukan masyarakat pelbagai kaum dan agama.

Pada sebelah malam pula diteruskan dengan Majlis Berbuka Puasa bersama komuniti setempat. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram