YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan Sumbangan Ihya Ramadan kepada seorang penerima.

IHYA RAMADAN : BUKTI TOK WAN PEMIMPIN PRIHATIN

Oleh : Fansurina Abdullah

TEMERLOH, 31 MAC 2023 : Penyampaian Sumbangan Ihya Ramadan kepada 132 masjid dan surau dalam Parlimen Kuala Krau berjumlah RM182,000 membuktikan bahawa YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail atau panggilan mesranya ‘Tok Wan’ sangat prihatin terhadap kebajikan dan keperluan rakyat di Pahang.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Jengka, YH. Dato’ Sri Dr. Haji Ismail Haji Mohamed Said berkata, pelbagai bentuk sumbangan diberikan terutamanya menerusi Bantuan Prihatin Pahang (BPP) yang telah dilaksanakan dengan memberi fokus kepada penerima seawal usia bayi sehinggalah warga emas.

“Tok Wan memang prihatin dari segi bantuan kebajikan kepada rakyat di Negeri Pahang sejak dalam kandungan sampai ke liang lahad dapat bantuan iaitu Bantuan Prihatin Pahang (BPP),” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Ihya Ramadan Kepada Masjid dan Surau Dalam Parlimen Kuala Krau di Masjid As-Syakirin Rumpun Makmur di Kuala Krau, hari ini.

Sumbangan Ihya Ramadan telah disampaikan sendiri oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail kepada semua masjid dan surau.

Hadir sama ialah Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerdau, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jenderak, YB. Dato’ Rodzuan Zaaba, Pegawai Daerah Temerloh, YH. Dato’ Ali Syahbana Sabaruddin, Pegawai Daerah Maran, YH. Dato’ Sharuddin Jali dan pemimpin setempat.

Sumbangan tersebut termasuklah RM100,000 bagi 50 masjid dan RM82,000 untuk 82 surau dalam Parlimen Kuala Krau.

Sumbangan diberikan secara tahunan bagi mengimarahkan masjid bagi melaksanakan program berbuka puasa dan moreh selain tadarus Al-Quran, kelas tajwid dan gotong royong perdana membersihkan kawasan masjid serta tanah perkuburan. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram