Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 31 MAC 2023 : Seramai 18 individu ditahan dalam Operasi Bersepadu Pembersihan Gelandangan, Pengemis dan Orang Kurang Siuman di sekitar Kuantan semalam.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, gelandangan yang ditahan terdiri daripada 12 lelaki dan empat wanita tempatan, seorang warga asing dan seorang kanak-kanak lelaki yang dirujuk kepada pihak agensi berkenaan untuk tindakan selanjutnya selepas selesai proses dokumentasi.
“Tiga individu gelandangan ditahan telah didaftarkan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan diserahkan kepada agensi terbabit untuk proses pengawasan.
“Manakala seorang lelaki warganegara Rohingya pula telah ditahan pihak Jabatan Imigresen Negeri Pahang untuk dibawa ke Depo tahanan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, seorang lelaki gelandangan telah diambil tindakan di bawah Seksyen 22 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Pahang) 2013 kerana tidak berpuasa.
“Sementara itu, seorang lagi lelaki telah dibawa untuk ujian saringan air kencing di Pejabat BSJND IPD Kuantan namun didapati negatif dari sebarang penyalahgunaan dadah, manakala selebihnya yang ditahan telah dibebaskan setelah selesai proses dokumentasi dijalankan,” katanya.
Operasi Bersepadu ini melibatkan 60 anggota terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), JKM, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuantan, Jabatan Imigresen Pahang dan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).
Operasi bersepadu ini telah dijalankan di sekitar Masjid Sultan Ahmad Shah 1, Bazar Ramadan Taman Kerang, Bazar Ramadan Stadium, Pasar Besar Kuantan, Jalan Wong Ah Jang, Jalan Tun Ismail dan sekitar kawasan Benteng (Esplanade). – PAHANGMEDIA