Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli menanam pokok di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah Felda Sungai Koyan hari ini.

KDYMM PEMANGKU RAJA PAHANG BERKENAN TANAM POKOK HAPPINESS TREE

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

LIPIS, 30 MAC 2023 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli menanam pokok di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah Felda Sungai Koyan hari ini.

Baginda yang memandu sendiri kenderaan berangkat tiba pada 6.35 petang telah berkenan menanam pokok jenis Garcina Subelliptica atau Happiness Tree di perkarangan masjid.

Baginda yang diiringi YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail sebelum itu telah berkenan mencemar duli mengurniakan sumbangan kepada 129 penerima daripada golongan memerlukan di daerah ini.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang turut berkenan mendengar persembahan ucapan oleh YAB Menteri Besar Pahang dalam Majlis Berbuka Puasa KDYMM Pemangku Raja Pahang Bersama-sama Rakyat di Daerah Lipis.

YAB Menteri Besar Pahang dalam sembah ucapan beliau berkata Kerajaan Negeri Pahang telah menyediakan sembilan inisiatif menerusi Belajawan 2023 bagi memastikan pembangunan syiar Islam di negeri ini.

“Dalam usaha memastikan institusi agama Islam sentiasa berupaya menjalankan fungsinya dengan berkesan, agenda pemerkasaan institusi-institusi ini akan dilakukan seiring peredaran masa dan teknologi. Perkara ini selari dengan nilai dan semangat Negeri Pahang yang mengangkat budaya hidup beragama.
 
“Dengan harapan syiar Islam akan terus memimpin dan menyinari agenda pembangunan serta pemerkasaan kesejahteraan hidup, Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku telah menyediakan peruntukan besar bagi memastikan inisiatif-inisiatif berkaitan pembangunan syiar Islam di bumi Pahang bagi 2023 dapat dilaksanakan dengan jayanya,” katanya.

Seterusnya baginda turut berkenan menunaikan solat Maghrib berjemaah di masjid ini sebelum berangkat pulang.

Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hj Mohd Sharkar Haji Shamsudin; dan barisan exco Kerajaan Negeri Pahang. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram