Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
LIPIS, 30 MAC 2023 : Bantuan Prihatin Pahang (BPP) kepada lebih 25,000 murid Tahun 1 di seluruh negeri ini dijangka akan selesai diagihkan selewatnya 7 April ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bantuan RM100 ini bertujuan membantu murid Tahun 1 untuk menbeli barangan keperluan persekolahan.
“Ini adalah sumbangan Kerajaan Negeri, yang mana kita boleh beri peruntukan ini disebabkan negeri kita stabil daripada pelbagai sudut sama ada politik, kewangan. Ini boleh membuatkan Kerajaan Negeri memberi fokus untuk mengurus Kerajaan Negeri dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Tahun 1 di Sekolah Kebangsaan Lanai di sini hari ini.

Beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya memastikan anak-anak mereka hadir ke sekolah bagi mendapatkan pendidikan dan tidak mengalami keciciran.
“Buat ibu bapa tadi saya pesan untuk pastikan anak-anak mereka pergi ke sekolah. Kerana seperti yang kita tahu pendidikan ini amatlah penting untuk kita mengubah nasib kita,” katanya.
Beliau sebelum itu, telah menyampaikan BPP Tahun 1 kepada 113 murid Tahun 1 di SK Clifford, sebelum ke SK Lanai bagi menyampaikan bantuan sama kepada 28 murid dan seterusnya ke SK (Felda) Sungai Koyan bagi menyampaikan bantuan kepada 102 murid.
Kerajaan Negeri Pahang telah memperuntukkan RM2.514 juta yang memberi manfaat kepada 25,146 orang murid Tahun 1 di seluruh Pahang di mana setiap murid akan menerima RM100 setiap seorang.
Pengagihan ini telah pun bermula pada 27 Mac lalu dan akan selesai pada 7 April depan di semua 540 buah sekolah rendah seluruh Pahang. -PAHANGMEDIA