YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail bersama Timbalan Perdana Menteri, Dato' Sri Dr. Zahid Hamidi pada Majlis Santunan Kasih Ramadan Jabatan Kemajuan Masyarakat KEMAS Negeri Pahang Tahun 2023 di Masjid Al-Falah, Lebu di Bentong

PEMBANGUNAN LUAR BANDAR AGENDA PENTING DI PAHANG

Oleh : Fansurina Abdullah

BENTONG, 29 MAC 2023 : Pembangunan luar bandar merupakan agenda penting di Negeri Pahang dan tidak pernah disifatkan sebagai sisipan kerana kawasan luar bandar mempunyai peranan, sumbangan dan potensi tersendiri dalam membina kemajuan di negeri ini.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bagi mencapai tujuan itu, Kerajaan Pahang menjalin hubungan yang baik dengan Kerajaan Persekutuan.

“Pada tahun 2022, Kerajaan Negeri telah menerima 114 projek di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar, dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM411.2 juta ringgit.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail

“Kerajaan Negeri juga telah mengemukakan permohonan 56 projek jalan luar bandar kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar dengan anggaran peruntukan sebanyak RM2.174 bilion.

” Selain itu, Kerajaan Negeri turut mengemukakan permohonan sebanyak RM1.3 bilion merangkumi projek-projek jambatan luar bandar, Program Pemajuan Kawasan dan Bekalan Air Luar Bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Santunan Kasih Ramadan Jabatan Kemajuan Masyarakat KEMAS Negeri Pahang Tahun 2023 bersama YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Dr. Zahid Hamidi di Masjid Al-Falah, Lebu di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri KKDW, YB. Dato’ Hajah Rubiah Wang, Timbalan Menteri Kerja Raya, YB. Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad, Timbalan Menteri Perdagangan dan Komoditi, YB. Dato’ Siti Aminah Aching dan barisan Exco Kerajaan Pahang.

Majlis Santunan Kasih Ramadan yang diadakan bermula 24 Mac lalu ini telah dihadiri lebih 1,500 orang dan Pahang menjadi negeri kelima daripada 13 negeri anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Turut disampaikan adalah sumbangan kepada 50 anak-anak yatim berupa duit raya dan hamper serta bantuan Imarah Masjid daripasa RISDA berjumlah RM9,000 kepada tiga masjid.

KKDW juga menyerahkan bantuan kit peralatan dan kursus ‘Quick and Win’ KEMAS kepada 10 peserta terdiri daripada belia, beliawanis, suri rumah dan ibu tunggal B40 dalam bidang jahitan dan masakan berjumlah RM20,000.

Bantuan ‘Quick and Win’ KEMAS ini merupakan inisiatif kerajaan Malaysia Madani bagi memastikan golongan B40 dapat menjana pendapatan sendiri dan memanfaatkan bantuan untuk meneruskan perniagaan sekaligus menyediakan peluang pekerjaan bagi masyarakat sekitar.

Selepas ini Majlis Santunan Kasih KKDW akan diteruskan di Negeri Johor, Perak, Wilayah Persekutuan, Kedah / Perlis, Negeri Sembilan, Sabah, Kelantan dan Sarawak. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram