YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika menyampaikan sumbangan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) 2023 Kluster Pelajar Tahun Satu di Sekolah Kebangsaan (SK) Mat Kilau di Kuantan hari ini

IBU BAPA SYUKUR BANTUAN PRIHATIN PAHANG DAPAT RINGANKAN BEBAN

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 27 MAC 2023 : Ibu bapa pelajar tahun satu menyatakan rasa syukur dan gembira di atas pemberian wang bantuan RM100 oleh Kerajaan Pahang menerusi Bantuan Prihatin Pahang (BPP) yang dapat membantu mengurangkan beban perbelanjaan pada awal kemasukan persekolahan.

Seorang bapa, Encik Mohd Syafiq Mohd Zaki, 34, berkata, anak sulungnya, Muhammad Mohd Syafiq, 7, baru sahaja memulakan persekolahan tahun satu di Sekolah Kebangsaan (SK) Mat Kilau dan sememangnya memerlukan perbelanjaan yang agak besar.

Encik Mohd Syafiq Mohd Zaki

“Bantuan ini bagus untuk ibu bapa bagi memulakan persekolahan kerana banyak pakai duit jadi dengan bantuan ini sedikit sebanyak boleh meringankan beban ibu bapa jadi saya sokong Kerajaan Negeri Pahang untuk melaksanakan inisiatif sebegini,” katanya.

Bagi Puan Nurul Ain Mohd Nasir, 35 tahun, pula, anaknya, Nurul Hana Safiyyah Muhammad Nor Razidi, 7 tahun, sangat teruja memasuki alam persekolahan dan pelbagai persiapan persekolahan dibuat meskipun menelan belanja yang agak tinggi.

Puan Nurul Ain Mohd Nasir

Justeru, beliau sangat gembira kerana Bantuan Prihatin Pahang (BPP) 2023 Kluster Pelajar Tahun Satu ini sememangnya dapat membantu perbelanjaan dalam menyediakan peralatan persekolahan kerana ini merupakan anak sulungnya.

“Perasaan saya gembira kerana bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu membeli barang sekolah apa lagi yang tak cukup,” katanya.

Bagi Encik Mohd Ali Tahir, 37 tahun, pula, beliau sangat gembira dan berterima kasih di atas keprihatinan Kerajaan Pahang merasai kesukaran ibu bapa dalam menyediakan peralatan persekolahan anak-anak khususnya tahun satu.

Encik Mohd Ali Tahir

Jelasnya, anak keduanya, Auni Afrina Mohd Ali, 7 tahun, telah memulakan persekolah di SK Mat Kilau dan bantuan BPP ini dapat membantunya untuk menambah keperluan lain bagi Auni Afrina.

“Pertama kali bersyukurlah dengan duit bantuan kerajaan ini, sedikit sebanyak dapat meringankan membuat pembelian buku anak sekolah, untuk perbelanjaan anaklah jadi terima kasih sangatlah untuk bantuan Pahang ini,” katanya.

Kesemua mereka telah menerima wang bantuan masing-masing pada Majlis Penyerahan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) 2023 Kluster Pelajar Tahun Satu di Sekolah Kebangsaan (SK) Mat Kilau di Kuantan yang telah disampaikan sendiri oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram