Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN 27 MAC 2023 : Kerajaan Pahang akan membincangkan untuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana usul berkaitan pindaan Perlembagaan Negeri perlu mendapat persetujuan daripada dua pertiga wakil rakyat.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Pahang tidak akan membentangkan RUU terbabit sekiranya tidak mendapat persetujuan daripada dua pertiga wakil rakyat.
“Kerajaan negeri sekarang tidak mendapat sokongan dua pertiga dari wakil rakyat. Sekiranya kita mendapat persetujuan dari mereka, kita akan bentangkanlah.
“Kita akan bincang. Kalau mereka bersetuju kita bentang, kalau mereka tidak bersetuju kita nak bentang buat apa? Kita ada lah cara kita (perbincangan bersama ADUN). Kita akan dapatkan persetujuan dari mereka. Kalau mereka setuju, kita bentang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyerahan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) 2023 Kluster Pelajar Tahun Satu di Sekolah Kebangsaan (SK) Mat Kilau di sini, hari ini.
Sehingga kini, hanya Selangor, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Negeri Sembilan, Kelantan dan Sarawak telah menguatkuasakan Enakmen Negeri masing-masing, berkaitan larangan bertukar parti di peringkat DUN. – PAHANGMEDIA