Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
LIPIS, 25 MAC 2023 : Kerajaan Negeri Pahang menyampaikan sumbangan kepada 13 masjid dan 29 surau di kawasan Jelai dengan nilai keseluruhan sebanyak RM239,000.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata jumlah sumbangan ini turut melibatkan sumbangan daripada Yayasan Pahang.
“Bagi kawasan Jelai, sebanyak 13 buah masjid akan menerima sumbangan RM5,000 daripada Kerajaan Negeri Pahang dan RM5,000 lagi daripada Yayasan Pahang menjadikan jumlah sumbangan RM10,000.
“Bagi surau pula, Kerajaan Negeri Pahang menyumbangkan RM2,500 manakala Yayasan Pahang menyumbang RM1,000 menjadikan sumbangan kepada setiap surau sebanyak RM3,500.
“Sumbangan kepada masjid dan surau ini melibatkan implikasi kewangan keseluruhan sebanyak RM239,000,” katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama-Sama Pengerusi Masjid dan Pemimpin Komuniti Kawasan Jelai Serta Penyerahan Sumbangan Ramadan Kepada Masjid Dan Surau DUN Jelai dan Daerah Cameron Highlands di Dewan Dato’ Sri Wan Rosy Kampung Tanjung Gahai hari ini.
Turut hadir, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, Dato’ Indera Mahmud Mohd Nawawi; Pegawai Daerah Lipis, Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim; dan Pegawai Daerah Cameron Highlands, YBhg. Tuan Syed Ahmad Khairulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman.
Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands (PKCH) turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM45,000 kepada masjid dan surau di Cameron Highland dalam majlis yang sama.
Selain itu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga memberikan sumbangan berjumlah RM42,700 menerusi sumbangan solar Masjid Tanjung Gahai bernilai RM22,700 dan sumbangan Ceria Ke Sekolah bernilai RM20,000.
Turut menerima sumbangan pada majlis hari ini adalah Maahad Tahfiz Ar-Rushd yang menerima sumbanga berjumlah RM5,000.
YAB Menteri Besar Pahang turut berharap sumbangan yang diberikan ini dapat digunakan bagi mengimarahkan masjid dengan pelbagai aktiviti yang bermanfaat terutamanya ketika di bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini. -PAHANGMEDIA