Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
LIPIS, 25 MAC 2023 : Seramai 529 penerima daripada golongan memerlukan di kawasan Jelai menerima sumbangan Ahlan Ramadan Yayasan Pahang 2023 sebanyak RM300 seorang.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata nilai sumbangan ini dinaikkan sebanyak RM100 pada tahun ini berbanding RM200 pada tahun sebelumnya.

“Sebenarnya saya sentiasa beritahu kepada pihak pengurusan kalau sekiranya kita mempunyai kedudukan aliran tunai yang baik, bertambah baik dari sebelumnya, seharusnya kita tambahkan juga bantuan kepada mereka yang memerlukan. Dan begitu juga sebaliknya.
“Andainya kedudukan kewangan anak-anak syarikat itu tidak begitu baik prestasinya atas sebab-sebab tertentu contohnya COVID-19 baru-baru ini, sudah tentu kita akan kurangkan.
“Tapi Alhamdulillah Yayasan Pahang, kedudukan kewangannya bertambah baik daripada sebelumnya dan ini membolehkan berlakunya pertambahan bantuan daripada RM200 kepada RM300,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Sumbangan Ahlan Ramadan Yayasan Pahang 2023 di Dewan Terbuka Laman Sejahtera Jelai Sungai Koyan 1 hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, Dato’ Indera Mahmud Mohd Nawawi; Ahli Parlimen Cameron Highlands, Dato’ Ramli Dato’ Mohd Noor; dan Pegawai Daerah Lipis, Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim.
Beliau yang juga Pengerusi Yayasan Pahang berkata bantuan ini adalah tanda keprihatinan Kerajaan Negeri Pahang kepada rakyat di negeri ini.
“Seperti biasa Kerajaan Negeri Pahang sentiasa menitikberatkan kebajikan rakyat Negeri Pahang, dan pada hari ini seramai 529 penerima bantuan terdiri daripada OKU (Orang Kurang Upaya), ibu tunggal, dan anak yatim.
“Pada kali ini kita bagi RM300 seorang dan sekotak kurma yang melibatkan implikasi kewangan hampir RM180,000,” katanya.
Beliau turut berharap bantuan kewangan yang diberikan ini dapat dibelanjakan oleh penerima dan dapat meringankan beban kewangan penerima.
“Jadi kepada penerima bantuan, saya harap mereka berbelanjalah dengan apa yang telah Kerajaan Negeri berikan melalui Yayasan Pahang dan saya percaya ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban kewangan mereka semasa bulan puasa dan hari raya,” katanya.
Sebanyak RM173,700 diperuntukkan bagi sumbangan Ahlan Ramadan Yayasan Pahang 2023 kepada golongan kurang berkemampuan melibatkan 260 pesakit kronik dan OKU, 148 anak yatim, dan 121 ibu tunggal dari 13 kampung sekitar kawasan Jelai. -PAHANGMEDIA