PEKAN, 22 MAC 2023 : Pahang melaksanakan tiga kadar bayaran zakat fitrah bagi tahun 1444 hijrah dengan kadar minimum yang ditetapkan bermula dari nilai RM7, RM14, dan RM21.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), YH. Dato’ Ahmad Hairi Hussain berkata bagi kadar zakat RM14 dan RM21 ia berdasarkan jenis beras yang digunakan.
“Adalah dimaklumkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah, sultan dan raja pemerintah bagi Negeri Pahang Darul Makmur serta segala jajahan takluknya selaku ketua agama Islam Negeri Pahang bagi tahun 1444 Hijriyyah bersamaan 2023 Miladiyyah dengan kadar RM7 merujuk kepada Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang.
“Kadar minimum zakat fitrah yang diwajibkan dibayar oleh setiap rakyat Pahang ialah RM7 dan digalakkan yang menggunakan beras wangi atau yang seumpama dan setara sebanyak RM14.
“Mereka yang menggunakan beras basmathi atau seumpama dan setara sebanyak RM21,” katanya pada sidang media Pengumuman Kadar Zakat Fitrah Bagi Negeri Pahang Darul Makmur di Dewan Syarahan MUIP di sini hari ini.
Beliau berkata sebanyak 934 amil zakat fitrah telah ditauliahkan bagi melaksanakan urusan kutipan zakat fitrah di seluruh negeri ini.
“Majlis juga menyediakan kemudahan pembayaran zakat fitrah secara atas talian (internet) melalui capaian ezakat.muip.gov.my,” katanya. – PAHANGMEDIA