Oleh : Ain Nadhirah Basha
LIPIS, 20 MAC 2023 : UMNO perlu menjadi ‘padu’ untuk bangkit semula bagi memastikan parti ini kekal relevan di kalangan rakyat di negara ini.
Naib Presiden UMNO baharu yang juga YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata buat masa ini, ahli UMNO perlu bersatu bagi mengembalikan kegemilangan parti ini.
“Kita tidak ada pilihan, kalau kita nak bangkit semula kita kena bersatu. Maknanya kita tidak boleh berpecah belah lagi, berbahagi-bahagi lagi. Kita tak boleh kata belah sana macam ini, belah sini macam ini. Tak boleh. Kita kena padu.
“Untuk kita bangkit semula, (kita kena) bekerja sebagai satu pasukan. Kita ada kapten kita, dan kita harus ikut, patuh, sokong, dan kita kena ada disiplin dalam parti. Maknanya apa yang telah diputuskan oleh MKT (Majlis Kerja Tertinggi) itu yang harus kita patuhi.
“Ini satu amanah besar untuk saya (Naib Presiden UMNO). Seperti yang kita tahu, sokongan rakyat (terhadap UMNO) semakin terhakis dan insyaAllah kita akan bekerja sebagai satu pasukan bersama Presiden dan Timbalan Presiden serta rakan-rakan Naib Presiden yang lain dan juga ahli MKT supaya UMNO terus relevan di kalangan rakyat di negeri kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Lawatan Kerja YB. Menteri Pendidikan Sempena Pengoperasian Sekolah Model Khas Komprehensif 11 (K11) Secara Rintis di SMK RPS Betau (JHEOA) hari ini.
Beliau turut melahirkan keyakinan bahawa UMNO akan bangkit semula dan sudah tiba masanya parti ini memikirkan hala tuju dan bergerak ke hadapan.
“…saya percaya perwakilan telah pun buat keputusan, buat pemilihan dan harapan mereka pun begitu tinggi dan kita kena buat (bersatu), terpaksa buat, kalau tidak, untuk bangkit semula agak sukar.
“Jadi kita kena buat sesuatu yang harus saya dan rakan-rakan yang lain fikirkan ke mana hala tuju. Kita kena move on. Politics is about future not about the past. Yang lepas tu lepaslah, sekarang kita fikirkan untuk masa depan.
“Macam mana kita nak pastikan rakyat bersama-sama dengan kita, UMNO perlu relevan, dan kita bangkit semula. InsyaAllah dengan bekerja sebagai satu pasukan kita akan bangkit semula,” katanya.
Mengulas mengenai persediaan negeri Pahang untuk membantu negeri lain yang akan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi, beliau berkata itu adalah amalan biasa oleh UMNO.
“Itu amalan biasa kita (bantu negeri lain). Bila ada PRK (Pilihan Raya Kecil) atau Pilihan Raya Negeri (PRN), kecuali Pilihan Raya Umum (PRU), mana-mana negeri yang tidak terlibat kita akan bantu dan ini adalah menjadi perkara biasa,” katanya. -PAHANGMEDIA