Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 20 MAC 2023 : Kerajaan Pahang sedang dalam peringkat percubaan bagi perlaksanaan sistem lampu isyarat pintar di seluruh Bandar Raya Kuantan bagi menangani kesesakan lalulintas di bandar raya berkenaan.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, lampu isyarat pintar itu akan dipasang di sepanjang jalan melibatkan rangkaian jalan pusat bandar raya, Jalan Beserah, Jalan Teluk Sisek dan Jalan Kota SAS hingga ke pusat bandar.
“Kita sedang mengadakan satu kajian untuk penggunaan ‘smart traffic light’ dalam Bandar Raya Kuantan bertempat dari JUPEM hingga ke jambatan Tanjung Lumpur dan laluan di Tanah Putih, traffic light di Bukit Rangin dan juga traffic light di Semambu / Polisas.

“Kita meminta pihak berkaitan di bawah seliaan bandar raya supaya mendapatkan hasil kajian yang lebih terperinci untuk kita lihat dan bentangkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk kita tengok keupayaan sistem tersebut dalam menangani kesesakan lalulintas di Bandar Raya Kuantan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sesi Focus Group Discussion (FGD) Kajian Pengurusan Lalu Lintas dan Pengangkutan Awam Pusat Bandaraya Kuantan di Dewan Bandaraya Kompleks Bandaraya Kuantan, di sini, hari ini.
Hadir sama ialah Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, YB. Encik Sim Chon Siang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, YB. Lee Chean Chung dan wakil Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) Ahli Majlis MBK, Encik Fadzilah Mohamed Tahir.
Pada sesi FGD itu turut dibincangkan kajian dan alternatif bagi menambah baik sistem pengangkutan awam di Bandaraya Kuantan.
Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Persekutuan juga telah meluluskan peruntukan sebanyak RM1.2 juta bagi memperbaiki jalan rosak di Semambu.
Bagaimanapun, katanya, pihaknya sedang melakukan sedikit penambahbaikan sebelum memulakan kerja-kerja pembaikan bagi memastikan laluan tersebut dapat digunakan dengan elok untuk jangka masa panjang. – PAHANGMEDIA