KUANTAN, 19 MAC 2023 : YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyifatkan kejayaan dipilih sebagai Naib Presiden UMNO merupakan satu tanggungjawab yang cukup besar untuk membantu Presiden, Timbalan Presiden serta seluruh kepimpinan UMNO terutamanya dalam keadaan parti yang cukup getir ketika ini.
Menteri Besar Pahang itu berkata, kekalahan UMNO pada PRU15 yang lalu menuntut seluruh ahli untuk merapatkan semula saf perjuangan, memperkukuhkan kembali persaudaraan serta memberikan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada parti agar UMNO mampu bangkit menjadi sebuah parti yang kuat.
“Berbekalkan pengalaman saya dalam mentadbir kerajaan dan juga parti, InsyaAllah, saya akan gunakannya untuk membantu bagi membina semula kekuatan UMNO agar parti keramat ini kembali bangkit dan kekal relevan untuk mengembalikan sokongan rakyat kepada UMNO terutamanya bagi menghadapi PRU16 nanti.
“Oleh itu, saya berharap agar seluruh ahli UMNO terus istiqamah, menggembleng tenaga dan bekerjasama bagi memastikan perjuangan parti dapat diteruskan demi agama, bangsa dan tanah air,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua perwakilan yang telah memberikan sokongan, kepercayaan serta memberikannya satu daripada tiga kerusi jawatan ini.
“Sudah pastinya kejayaan ini tidak dapat dicapai tanpa bantuan semua pihak terutamanya jentera kempen saya yang berhempas pulas sepanjang tempoh dua minggu ini. Tanpa bantuan ini tidak mungkin saya berupaya untuk mencapai kemenangan yang penuh bermakna ini,” katanya. – PAHANGMEDIA