Ketua UMNO Bahagian Pekan, YB. Dato' Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff

ADUN BEBAR TERAJUI KESINAMBUNGAN LEGASI PERJUANGAN DATO’ SRI MOHD NAJIB

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

PEKAN, 19 MAC 2023 : Ketua UMNO Bahagian Pekan, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff diberi kepercayaan meneruskan legasi perjuangan parti itu yang pernah diterajui oleh mantan Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak selama 41 tahun.

Menurut YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin, kepercayaan yang diberikan oleh perwakilan parti khususnya di Pekan memberikan semangat bagi meneruskan perjuangan parti untuk meraih kembali keyakinan masyarakat terhadap UMNO.

“Terima kasih kepada perwakilan yang memberi kepercayaan dan undi kepada saya untuk menerajui UMNO Bahagian Pekan bagi sesi tahun 2023 – 2026.

“Saya memandang kepercayaan ini adalah sesungguhnya satu tugas yang amat berat untuk digalas tetapi matlamat utama kita pada hari ini adalah untuk kita sama-sama memulihkan kembali kepercayaan dan keyakinan rakyat kepada UMNO Bahagian Pekan dan seterusnya matlamat utama kita adalah untuk mencapai kemenangan pada PRU16 nanti di bawah Barisan Nasional,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Upacara Penutup Eksesais Latgabma Malindo Darsasa 11AB/2023 yang disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pagi tadi.

YB. Dato’ Haji Mohamad Fakhruddin berjaya menewaskan seorang lagi calon bagi merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian Pekan iaitu bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pekan, YH Dato’ Sri Zamri Ramly selepas calon ketiga, bekas Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Ishak Muhamad menarik diri.

Beliau berjaya memperoleh 449 undi manakala Dato’ Sri Zamri mendapat 435 undi.

YB. Dato’ Haji Mohamad Fakhruddin telah memulakan kerjaya politiknya pada 2004 sebagai Ahli Jawatankuasa UMNO Cawangan Tanjung Batu dan Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian Pekan sebelum menjadi sebagai Pengerusi Biro Penerangan UMNO Bahagian Pekan pada tahun 2018.

Tahun 2013 menjadi tahun penting kepada beliau apabila memenangi pada Pilihan Raya Ke13 sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebar sehingga sekarang.

Di atas kredibiliti dan kesungguhannya, pada tahun 2018 beliau telah terpilih sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan dan menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang sehingga 2022.

Kini beliau yang memiliki Ijazah Kejuruteraan Industri dari University Of Miami, Amerika Syarikat, masih diberi kepercayaan sebagai Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang sehingga ke hari ini.

Jelasnya, tanggungjawab dan kepercayaan yang diberikan akan dilaksanakan sebaik mungkin berdasarkan pengalaman selama tiga penggal sebagai ADUN Bebar dan Exco Kerajaan untuk menyelami denyut nadi rakyat dengan mengambil tahun masalah dihadapi mereka. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram