Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
LIPIS, 18 MAC 2023 : Barisan kepimpinan dan perwakilan harus bekerjasama bagi meminimakan masalah dalaman sekiranya terjadi apabila berlaku sebarang pertandingan atau pemilihan di peringkat dalaman parti.
Ketua UMNO Bahagian Cameron Highlands, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, setiap peringkat parti sama ada cawangan, bahagian mahu pun pusat perlu mengurangkan masalah dalaman ini bagi memperkukuhkan parti untuk berhadapan dengan musuh parti dari pihak luar.
“Kalau ada masalah dalaman ni sebenarnya sesama kita sedangkan musuh kita dari segi politik di luar bukan di dalam, jadi sekiranya kita selesaikan secara dalaman, senang untuk kita pergi ke luar, untuk kita berkempen dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Cameron Highlands 2023 di Dewan UMNO Bahagian Cameron Highlands, Sungai Koyan di Lipis.
Hadir sama ialah Naib Ketua UMNO Bahagian Cameron Highlands, YB. Dato’ Ramli Dato’ Mohd Nor, Ketua Pergerakan Pemuda Bahagian Cameron Highlands, Encik Wan Mohd Azam Dato’ Sri Haji Wan Rosdy, Ketua Pergerakan Puteri Bahagian Cameron Highlands, Puan Saidatun Nur Mohd Rusly, Ketua Penerangan UMNO Bahagian Cameron Highlands, YH. Dato’ Sri Dr. Abdul Fattah Abdullah dan semua barisan kepimpinan UMNO Bahagian Cameron Highlands.
Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Cameron Highlands 2023 telah dihadiri seramai 234 perwakilan daripada kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai dan DUN Tanah Rata di bawah Parlimen Cameron Highlands. – PAHANGMEDIA