Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
LIPIS, 18 MAC 2023 : Kesemua ahli UMNO harus terus bersatu terutama selepas pemilihan UMNO selesai bagi mengelakkan perpecahan dan masalah dalaman sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang yang juga Ketua UMNO Bahagian Cameron Highlands, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, semangat bersatu padu ini harus ditunjukkan di dalam parti UMNO agar dapat dicontohi organisasi-organisasi lain.
“Kita berharap, kita berdoa supaya selepas pertandingan akan bercantum semula kerana kita tidak mampu melihat kepada perpecahan dan kekalahan UMNO secara keseluruhannya semasa PRU15 baru-baru ini, antara sebabnya ialah masalah dalaman,” katanya.
Beliau berucap demikian ketika menyampaikan ucapan penangguhan pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Cameron Highlands 2023 yang diadakan di Dewan UMNO Bahagian Cameron Highlands, Sungai Koyan di sini, hari ini.
Hadir sama ialah Naib Ketua UMNO Bahagian Cameron Highlands, YB. Dato’ Ramli Dato’ Mohd Nor, Ketua Pergerakan Pemuda Bahagian Cameron Highlands, Encik Wan Mohd Azam Dato’ Sri Haji Wan Rosdy, Ketua Pergerakan Puteri Bahagian Cameron Highlands, Puan Saidatun Nur Mohd Rusly dan Ketua Penerangan UMNO Bahagian Cameron Highlands, YH. Dato’ Sri Dr. Abdul Fattah Abdullah.
Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Cameron Highlands 2023 telah dihadiri seramai 234 perwakilan daripada kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai dan DUN Tanah Rata di bawah Parlimen Cameron Highlands.
Dalam ucapannya, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy turut menasihati para perwakilan agar sentiasa berlapang dada, berfikiran positif, melakukan sesuatu dengan cara terbaik, saling membantu dan tidak menyimpan sifat dendam.
“Kalau ada apa-apa dugaan dan cabaran kita serahkan kepada di atas (Allah SWT) dan apa jua yang berlaku kepada kita mesti ada hikmahnya, yang itu kita mesti terima hakikat,” katanya. – PAHANGMEDIA