Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan ketika menaiki bot amfibia keluaran syarikat Sealegs yang dipandu oleh seorang wanita Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pahang.

PAHANG WUJUD PASUKAN PENGENDALI BOT AMFIBIA SEALEG WANITA PERTAMA DI MALAYSIA

Oleh : Fansurina Abdullah

BERA, 16 MAC 2023 : Pahang merupakan negeri pertama di Malaysia yang mempunyai Pasukan Pengendali Bot Amfibia Sealeg Wanita yang terdiri daripada 12 ahli di kalangan pegawai dan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pahang.

Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan berkata, penubuhan itu bertepatan dengan tema negeri Pahang iaitu ‘Pahang First’ yang sentiasa mendahului negeri-negeri lain dalam perkara berkaitan kemasyarakatan.

“Pahang merupakan negeri pertama membeli dan mempunyai Sealog sebanyak dua buah di Malaysia. Malah, seramai 12 peserta wanita terdiri daripada pegawai dan anggota APM termasuk tiga dari Bera telah memulakan latihan sebulan yang lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Kampung Siaga 221 Peringkat Negeri Pahang bersempena Sambutan Semarak Bulan Pertahanan Awam Malaysia dan Hari Wanita Kebangsaan Tahun 2023 di Dewan Padang Luas di sini, hari ini.

Sementara itu katanya, seramai 30 peserta wanita di dalam kawasan DUN Guai turut dilantik sebagai Sukarelawan Skuad Civil Defence Emergency Response Team (CDERT) Wanita Guai.

“Hari ini juga kita telah melantik 30 orang wanita menyertai Kampung Siaga 221 dan insyaa Allah mereka inilah yang akan membantu pihak Pertahanan Awam sekiranya ada berlaku kecemasan, mereka ini ditempatkan di seluruh Bera khasnya dan inilah ‘frontliner’ yang pertama menguruskan sekiranya ada bencana-bencana yang tidak dijangka di kawasan kampung,” katanya.

Hadir sama ialah Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Ketua Pesuruhjaya (PA) Aminurrahim Mohamed, Pengarah Pertahanan Awam Negeri Pahang, Kolonel (PA) Che Adam A. Rahman, Ketua-Ketua Jabatan dan pemimpin setempat.

Penubuhan Kampung Siaga 221 ini bertujuan melatih komuniti atau penduduk setempat bagi kesiapsiagaan dalam menghadapi sebarang bencana terutamanya ketika berhadapan banjir yang sering melanda negeri ini. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram