Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 16 MAC 2023 : Kerajaan Negeri Pahang telah memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bernilai RM500 juta bagi projek Pembangunan Industri Bot Amfibia pada 8 Mac lepas.
Menurut satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail hari ini, perjanjian ini ditandatangani menerusi Perbadanan Setiausaha Kerajaan Pahang bersama syarikat Sealegs International Pte. Ltd.
Perjanjian ini adalah salah satu usaha Sealegs International untuk menjadikan Negeri Pahang sebagai pusat pembuatan, pusat servis dan pusat pemasaran bot amfibia keluaran mereka.
Perjanjian ini ditandatangani oleh YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehudin Ishak mewakili Perbadanan Setiausaha Kerajaan Pahang manakala Sealegs International Pte. Ltd. diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Sealegs International, Encik David Mckee Wright.
Syarikat Sealegs International merupakan sebuah syarikat pembuatan kapal amfibia yang berpusat di New Zealand dan merupakan salah satu tempat perusahaan marin terbesar dunia.
Melalaui perjanjian yang dimeterai ini, pembangunan projek diharap mampu menyumbang kepada pembangunan Negeri Pahang secara keseluruhan sekaligus meningkatkan peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri ini. – PAHANGMEDIA