Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
BENTONG, 15 MAC 2023 : Gabungan kepimpinan tertinggi parti di kalangan lama dan baharu dapat menjadi pelengkap kepada pembentukan pasukan dalam menerajui parti UMNO.

Ketua UMNO Bahagian Maran yang juga calon Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsudin berkata, kerjasama di antara kepimpinan lama dan baharu akan saling melengkapi dalam mempersiapkan parti ke arah Pilihan Raya Ke-16 (PRU16) akan datang.
“Kita hendak membentuk satu pasukan yang mantap untuk menghadapi PRU16 sudah pastinya pasukan itu mestilah terdiri daripada pelbagai latarbelakang yang mempunyai kemahiran dan kelebihan masing-masing, ianya termasuklah muka lama, muka baru golongan profesional, agamawan dan pemimpin wanita juga adalah pelengkap kepada pasukan yang akan dibentuk nanti,” katanya.
Manakala bagi Ketua Penerangan UMNO Bahagian Pekan yang juga calon Ketua UMNO Bahagian Pekan, YB. Dato’ Haji Mohd Fakhruddin Mohd Ariff berkata, kredibiliti dan kemampuan calon Naib Presiden UMNO yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dalam mentadbir dan menyokong parti UMNO di dalam sebarang keadaan membuktikan kesetiaan dan kesaksamaan beliau.

YB. Dato’ Haji Mohd Fakhruddin berkata, beliau yakin dan percaya terhadap kemampuan Dato’ Sri Haji Wan Rosdy untuk mentadbir parti itu di peringkat tertinggi Malaysia.
“Saya percaya dengan kesungguhan dan kebijaksanaan, kepandaian yang ada pada diri Dato’ Sri Haji Wan Rosdy ini akan mampu membawa UMNO ke tempat yang lebih cemerlang lagi pada masa akan datang,” katanya. – PAHANGMEDIA