YAB Menteri Besar Pahang, Dato Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

KERAJAAN PAHANG SETUJU BERI KGT TAMBAHAN KHAS RM100 KEPADA PENJAWAT AWAM NEGERI

Oleh : Fansurina Abdullah

KUANTAN, 15 MAC 2023 : Kerajaan Pahang bersetuju memberi Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) Tambahan Khas Tahun 2023 berjumlah RM100 kepada 8,000 penjawat awam di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kenaikan KGT Tambahan Khas ini adalah selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 2022 di mana Kerajaan Persekutuan telah meluluskan pemberian ini kepada Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan dalam Kumpulan Pelaksana dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional berkuat kuasa 1 Januari 2023.

Justeru menurutnya, bagi mengambil kira peranan penting penjawat awam negeri yang telah memberikan perkhidmatan kepada rakyat Pahang, Kerajaan Negeri telah bersetuju menerima pakai Pekeliling Perkhidmatan ini.

“Pemberian KGT Tambahan Khas ini tidak akan menjejaskan Pergerakan Gaji Tahunan pegawai bagi tahun 2023 dan tahun berikutnya serta tidak mengubah tarikh pergerakan gaji pegawai,” katanya dalam satu kenyataannya di laman Facebook rasmi miliknya, hari ini.

Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, pemberian ini akan membabitkan implikasi kewangan tahunan sebanyak RM9.6 juta.

Beliau turut berharap dengan pemberian KGT Tambahan Khas ini agar penjawat awam di Pahang dapat mempertingkatkan mutu perkhidmatan demi kesejahteraan dan kemakmuran negeri ini. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram