Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika Majlis Pengenalan Calon-Calon Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap, Naib Presiden dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia Peringkat Negeri Pahang di Genting Highlands hari ini

GABUNGAN LAMA, BAHARU BERI IMPAK TERBAIK UNTUK UMNO

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

BENTONG, 14 MAC 2023 : Gabungan kepimpinan lama dan baharu di dalam UMNO akan memberikan impak terbaik bagi membuka peluang dan ruang dalam pertukaran pendapat serta idea agar parti dapat terus kekal relevan.

Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, gabungan lama dan baharu ini akan membolehkan sebarang pertukaran pendapat serta perkongsian pengalaman di kalangan kepimpinan sedia ada dengan kepimpinan baharu.

“Pucuk kepimpinan sedia ada ini bukan selalu menongkat langit, yang muda akan mengambil alih tetapi blend (gabungan) itu adalah yang baiknya, yang muda dan tua supaya kita dapat berbagai pandangan dan fikiran untuk kita mengorak langkah dan membuat keputusan untuk parti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi Presiden UMNO Malaysia, Dato’ Sri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Majlis Pengenalan Calon-Calon Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap, Naib Presiden dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia Peringkat Negeri Pahang di Genting Highlands hari ini.

Hadir sama ialah Timbalan Presiden UMNO, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Hassan, Setiausaha Agung UMNO, Dato’ Sri Ahmad Maslan, semua calon-calon dan barisan kepimpinan Negeri Pahang.

Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO akan diadakan serentak di seluruh negara dengan Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian pada 18 Mac ini. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram