Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
BENTONG, 14 MAC 2023 : Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyifatkan perebutan jawatan sebagai Naib Presiden UMNO merupakan persaingan sihat di dalam satu keluarga.
Beliau berkata, kelebihannya sebagai Menteri Besar Pahang yang merupakan satu-satunya calon bagi Kerusi Naib Presiden bukanlah perkara baharu memandangkan ianya pernah diisi sebelum ini.

“Kita bertanding dalam satu keluarga, jadi kita buat yang terbaik, saya pun cuba buat yang terbaik, kawan-kawan lain pun cuba buat yang terbaik, akhirnya kita serahkan kepada para perwakilan.
“Saya percaya dan yakin perwakilan akan membuat keputusan yang bijak dan kita semua tahu bahawa yang bertanding untuk jawatan Naib Presiden hanya seorang sahaja terdiri daripada Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri atau pun Menteri Besar yang menawarkan diri daripada tiga tempat hanya satu sahaja.
“Lagi pun ini bukan satu perkara yang baru kerana sebelum ini memang ada wakil di kalangan Menteri Besar untuk menduduki kerusi Naib Presiden ini tetapi telah lama dikosongkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengiringi Presiden UMNO Malaysia, YAB Dato’ Sri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Majlis Pengenalan Calon-Calon Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap, Naib Presiden dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia Peringkat Negeri Pahang di Resort World Awana, Genting Highlands hari ini.
Hadir sama ialah Timbalan Presiden UMNO Malaysia, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Hassan, Setiausaha Agung UMNO Malaysia, Dato’ Sri Ahmad Maslan, semua calon-calon dan barisan kepimpinan Negeri Pahang.
Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO akan diadakan serentak di seluruh negara dengan Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian pada 18 Mac ini. – PAHANGMEDIA