Oleh : Ain Nadhirah Basha
LIPIS, 11 MAC 2023 : Kementerian Kerja Raya (KKR) telah memperuntukkan sebanyak RM800,000 bagi membaikpulih laluan Jerantut-Benta yang mengalami runtuhan cerun.
Timbalan Menteri Kerja Raya (JKR), YB. Dato’ Sri Abdul Rahman Haji Mohamad berkata buat masa ini pihaknya sedang membuat kajian berkenaan runtuhan yang berlaku.
“Bagi jalan Benta ke Jerantut, Kementerian Kerja Raya telah mengeluarkan peruntukan sebanyak RM800,000 kepada syarikat Pintas Utama iaitu konsesi cerun dan beliau bertanggungjawab untuk membaiki runtuhan cerun tersebut.
“Dan sekarang ini kita dalam proses membuat kajian, kena ambil masa dan bila-bila masa mereka (pihak konsesi) boleh membina jalan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Kunci Projek PR1MA Pahang Perumahan Makmur Kuala Lanar Jaya (Fasa 2) Dan Majlis Penyampaian Sumbangan Mengimarahkan Bulan Ramadan Tahun 1444 Hijrah / 2023 Masihi di Padang Awam Projek Perumahan Makmur Kuala Lanar Jaya (Fasa 2) hari ini.
Turut hadir, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Johari Harun; Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benta, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak; dan ADUN Padang Tengku, YB. Dato’ Mustapa Haji Long.
Beliau turut melahirkan keyakinan bahawa kerja-kerja baikpulih ini dapat disiapkan dalam tempoh selewatnya empat bulan lagi.
“Dan saya percaya dengan kos RM800,000 ini boleh disiapkan dalam masa antara tiga ke empat bulan, boleh disiapkan kerja-kerja tersebut. Dan kontraktor ini adalah kontraktor utama dari segi cerun runtuh.
“Buat seketika ini saya faham bahawa masyarakat daripada Lipis memang agak jauh sedikit untuk sampai ke bandar Jerantut, terpaksa membuat pusingan di jalan Atong-Kerambit dan juga Jerantut.
“Dan kita cuba sedaya upaya untuk menyegerakan menyiapkan kerja tersebut. Saya yakin boleh siap cepat kerana peruntukkan telah diberi dan cerun itu bukan dikategorikan sebagai kerja yang sangat besar,” katanya.
Jalan Jerantut-Benta ditutup kepada semua kenderaan berat selama tiga bulan mulai 24 Januari berikutan tanah runtuh akibat kerosakan pada pembentung dan struktur jalan melibatkan penutupan laluan FT 64 Seksyen 35.10 berhampiran pejabat Felcra Jaya Putra bagi menjamin keselamatan pengguna. -PAHANGMEDIA