Oleh : Ain Nadhirah Basha
LIPIS, 11 MAC 2023 : Kerajaan Pahang bercadang untuk mengenakan syarat kepada setiap pemaju PR1MA Pahang supaya dapat membina surau di projek perumahan yang dilaksanakan oleh mereka.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata Kerajaan Negeri Pahang akan mencari kaedah bagaimana ia dapat dilaksanakan.
“Sebab rumah ini dah murah, jadi kita pun fikir juga dia punya keuntungan pun sangat sikit tapi kalau kita suruh buat surau dan sebagainya mungkin dia (pemaju) tak nak buat tapi kita akan cari kaedah macam mana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Kunci Projek PR1MA Pahang Perumahan Makmur Kuala Lanar Jaya (Fasa 2) Dan Majlis Penyampaian Sumbangan Mengimarahkan Bulan Ramadan Tahun 1444 Hijrah / 2023 Masihi di Padang Awam Projek Perumahan Makmur Kuala Lanar Jaya (Fasa 2) hari ini.
Turut hadir, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Johari Harun; Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benta, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak; Timbalan Menteri Kerja Raya (JKR) yang juga Ahli Parlimen Lipis, YB. Dato’ Sri Abdul Rahman Haji Mohamad; dan ADUN Padang Tengku, YB. Dato’ Mustapa Haji Long.
Beliau sebelum itu mengumumkan kelulusan bagi membina surau bernilai RM20,000 di Projek Perumahan Makmur Kuala Lanar Jaya (Fasa 2).
Sementara itu, mengulas mengenai pembinaan Rumah Rakyat Pahang (RRP), beliau berkata ia adalah langkah Kerajaan Negeri Pahang bagi membantu rakyat di negeri ini untuk memiliki kediaman sendiri.
Beliau turut melahirkan rasa kesyukuran dengan sambutan yang diterima oleh Kerajaan Negeri Pahang serta kondisi rumah yang disediakan kepada para penerima.

“Alhamdulillah, sambutan cukup menggalakkan, rumah begitu selesa, dan saya percaya ia sedikit sebanyak membantu meringankan bebanan mereka untuk memiliki rumah sendiri,” katanya.
Mengulas mengenai kenaikan kos barangan bagi pembinaan rumah RRP, beliau berkata satu pengumuman akan dibuat dalam masa terdekat.
“Saya bersama-sama YB. Dato’ Sri Johari telah pun mengadakan perbincangan baru-baru ini bagaimana untuk kita membantu meringankan beban pemaju.
“Alhamdulillah dalam masa terdekat kami akan buat pengumuman. Mungkin ada sedikit perubahan design dan sebagainya tetapi pastinya tidak membebankan rakyat,” katanya. -PAHANGMEDIA