Pengarah Unit Perancangan Operasi dan Strategik, Pejabat Menteri Besar Pahang, YH. Dato' Wan Salman Wan Ismail yang mewakili YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail menyerahkan pek Juadah Makmur kepada warga Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) hari ini.

JUADAH MAKMUR SATU CARA KONGSI REZEKI OLEH KERAJAAN NEGERI PAHANG

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 10 MAC 2023 : Pengagihan Juadah Makmur disifatkan sebagai satu cara berkongsi rezeki dan penghargaan oleh Kerajaan Negeri Pahang kepada penjawat awam di negeri ini.

Pengarah Unit Perancangan Operasi dan Strategik, Pejabat Menteri Besar Pahang, YH. Dato’ Wan Salman Wan Ismail berkata pengagihan Juadah Makmur turut melibatkan jabatan kerajaan yang terpilih selain diagihkan ke masjid di seluruh negeri ini.

“Kali ini difokuskan juga sebagai tambahan kepada jabatan-jabatan yang terpilih secara bergilir-gilir juga setiap kali Jumaat.

Pengarah Unit Perancangan Operasi dan Strategik, Pejabat Menteri Besar Pahang, YH. Dato’ Wan Salman Wan Ismail

“Ini merupakan satu inisiatif untuk berkongsi rezeki yang diberi oleh YAB Menteri Besar sebagai gambaran untuk berkongsi rezeki dan sebagai penghargaan yang tersirat, menghargai warga kerja, penjawat awam di negeri ini.

“Sebenarnya bukan nilai yang penting, tetapi dilihat dari segi keperihatinan dan ketulusan untuk beri bahawa kemakmuran di negeri Pahang harus di kongsi dalam pelbagai bentuk termasuk pemberian Juadah Makmur,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Penguatkuasaan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Encik Kamarulazlan Mohd Pati melahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri diatas pengagihan Juadah Makmur ini.

“Saya bagi pihak Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) mengucapkan terima kasih kepada YAB Menteri Besar. Mudah-mudahan program ini dapat diteruskan untuk masa-masa akan datang,” katanya.

Menurut Puan Azlina Ahmad dari Seksyen Audit Dalaman Pejabat Dato Bandar, MBK, melahirkan perasaan gembira diatas pengagihan Juadah Makmur kepada pekerja MBK.

“Saya merasa gembira dan menghargai Juadah Makmur ini. Jadi ini adalah salah satu cara kita nak meraikan warga Kuantan, seterusnya PBT MBK, kerana sebelum ini kita tumpukan juadah ini ke masjid-masjid tapi sekarang kita sebar luaskan lagi,” katanya.

Sebanyak 1,171 bungkusan Juadah Makmur diagihkan kepada 13 jabatan di bawah Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) hari ini di lobi MBK oleh YH. Dato’ Wan Salman yang mewakili YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

Juadah Makmur merupakan satu pendekatan baharu yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri untuk rakyat Pahang dengan peruntukan berjumlah RM11 juta setahun. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram