Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 10 MAC 2023 : Kedua-dua johan menunggu bagi kategori qari dan qariah berjaya menjuarai Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Pahang Kali Ke-66 dan seterusnya bakal mewakili Pahang ke peringkat kebangsaan pada Jun depan.
Johan qari, Encik Mohamad Syaheed Sabri, 30, yang merupakan pensyarah taranum dari Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) menyifatkan kemenangannya tidak dijangka apabila menerima saingan sengit daripada 13 peserta lain.
Dia yang sebelum ini mewakili Daerah Raub berjaya mendapat 91 markah dan bertekad untuk memantapkan bacaannya sebelum mewakili Pahang ke peringkat kebangsaan pada Jun depan.
“Persiapan untuk ke kebangsaan, untuk saya berlatih dan terus berlatih seperti biasa, menghadap guru talaqi, rutin sebelum dan selepas tilawah adalah sama sahaja, itulah persediaannya,” katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan semalam.

Semenatara itu, johan qariah, Cik Siti Fatimah Mohd Noor, 20, merupakan pelajar tahun pertama di MTNP bagi pengajian Al-Quran dan Qiraat juga tidak menyangka berjaya mengekalkan kejuaraannya kerana berhadapan persaingan hebat daripada peserta lain.
Sebelum ini Siti Fatimah mewakili Daerah Kuantan turut menyifatkan setiap peserta mempunyai kekuatan dan keistimewaan masing-masing dengan perbezaan markah yang sedikit.
“Alhamdulillah, tak sangka sebab ramai yang hebat-hebat sebelum ini, rasa macam dia menang ni sebab macam hebat sangat, jadi perasaan tu memang tak sangka langsung,” katanya.
Kedua-dua mereka berjaya menewaskan 26 peserta lain daripada 13 daerah seluruh Pahang pada pertandingan yang berlangsung selama tiga hari bermula 14 hingga 15 Mac 2023 di Dewan Utama Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) di Kuantan.
Johan qari dan qariah masing-masing membawa pulang wang tunai RM8,000, mock cheque, trofi, piala pusingan dan sijil.
Naib johan qari dan qariah pula masing-masing membawa pulang wang tunai RM6,000, mock cheque, trofi dan sijil manakala pemenang tempat ketiga qari dan qariah masing-masing beroleh RM4,000, mock cheque, trofi dan sijil.
Penyampaian hadiah kepada semua pemenang Tilawah Al-Quran telah disempurnakan oleh YAM Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Naseer Ibrahim Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. – PAHANGMEDIA