Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 10 MAC 2023 : Kerajaan Pahang menyumbangkan sebanyak RM500 bagi setiap jemaah haji yang telah menerima tawaran ibadah itu daripada Tabung Haji pada tahun 2023 dan tahun seterusnya.
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, sumbangan ini bertujuan meringankan dan memudahkan ibadah haji yang bakal ditunaikan pada tahun ini.

“Ini adalah usaha yang gigih daripada kepimpinan YAB Menteri Besar Pahang sehinggakan bakal-bakal haji akan disumbangkan sebanyak RM500 setiap seorang seandainya mereka ditawarkan nanti,” katanya.
YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim berkata demikian ketika menyembah ucapan pada Penutup Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Pahang Kali Ke-66 yang berlangsung selama tiga hari di Dewan Utama Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) di sini semalam.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh YAM Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Naseer Ibrahim Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut hadir ialah YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, barisan Exco Kerajaan Pahang, YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar, Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Abdul Rahman Osman dan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), YH. Dato’ Dr. Haji Zulkifle Haji Ali Al-Hafiz.

Pada Majlis Tilawah Al-Quran kali ini, kedua-dua Johan Menunggu berjaya mengekalkan gelaran Johan bagi kedua-dua kategori qari dan qariah.
Johan qari dimenangi Mohamad Syaheed Sabri, 30, yang sebelum ini mewakili Daerah Raub dengan memperoleh 91 markah dan johan qariah diberikan kepada Siti Fatimah Mohd Noor, 20, yang mewakili Daerah Kuantan pada tahun lalu berjaya menewaskan peserta lain dengan 87 markah.
Seramai 28 peserta mewakili 13 daerah masing-masing termasuklah dua johan menunggu telah berentap merebut gelaran juara pada Majlis Tilawah Al-Quran yang berlangsung selama tiga hari bermula 14 hingga 16 Mac 2023. – PAHANGMEDIA