YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail s melakukan pelepasan kenderaan bagi menghantar bantuan dalam Misi Bantuan Kemanusiaan Pahang Prihatin Ke Parlimen Parit Sulong, Johor di Pekarangan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK)

PAHANG HANTAR BANTUAN BANJIR RM50,375 KE PARIT SULONG

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 09 MAC 2023 : Kerajaan Pahang menghantar bantuan keperluan asas kepada Parlimen Parit Sulong bernilai RM50,375 hari ini bagi membantu mangsa banjir di daerah tersebut.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata bantuan ini disalurkan dalam Misi Bantuan Kemanusiaan Pahang Prihatin Ke Parlimen Parit Sulong, Johor.

“Hari ini kita buat penghantaran kali kedua dalam bentuk barangan kepada mangsa banjir di negeri Johor yang kita tahu negeri Johor terkesan dengan sangat teruk (banjir) berbanding dengan negeri lain.

“Jadi kita bagi dalam bentuk barangan ini yang kita rasakan sangat perlu untuk mangsa-mangsa banjir ini. Antara barang yang dihantar adalah selimut, lampin bayi, kit penjagaan diri, dan beberapa lagi barangan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan pelepasan kenderaan bagi menghantar bantuan dalam Misi Bantuan Kemanusiaan Pahang Prihatin Ke Parlimen Parit Sulong, Johor di Pekarangan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan.

Beliau berkata bantuan yang dihantar ini merupakan tanda ingatan Kerajaan Pahang kepada semua mangsa banjir yang terkesan selain diharap dapat meringankan sedikit beban yang ditanggung mangsa.

“Saya berharap mereka dapat menerima bantuan yang seadanya ini dan seperti mana yang saya katakan, negeri kita pun selalu terkena banjir dan kita dapat merasakan apa yang mereka rasakan, dan itu sebabnya kita hulurkan bantuan kepada mereka,” katanya.

Sebelum ini penghantaran bantuan sama telah dihantar ke Johor pada 4 Mac lalu melibatkan pelbagai bentuk barangan keperluan asas bernilai RM70,535. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram