Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
BENTONG, 08 MAC 2023 : Kerajaan Pahang bersetuju melanjutkan pajakan tanah Mutiara Taman Negara (MTN) seluas 16.19 hektar selama 20 tahun bermula 1 Oktober 2021 sehingga 30 September 2041.
Tanah yang ditadbir urus oleh anak syarikat Tradewinds Corporation Berhad (TCB) iaitu THR Hotel (Kuala Tahan) Sdn. Bhd. ini telah diberikan persetujuan oleh Kerajaan Negeri Pahang melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Ke-34 pada 15 September 2021.
Perjanjian pajakan dan penyelenggaraan tanah ini adalah bagi tujuan penyelenggaraan dan operasi kawasan resort di Mutiara Taman Negara oleh TCB meliputi tiga plot kawasan iaitu Plot A seluas 15 ekar, Plot B (10 ekar) dan Plot C (15 ekar).
Bagi persetujuan pajakan baharu ini, beberapa proses telah dibuat bagi memastikan perjanjian penuh yang mengandungi obligasi dan terma yang relevan serta perjanjian dahulu masih boleh digunapakai termasuk mengenai pengendalian dan peyelenggaraan Kompleks Kuala Tahan, Jerantut; Supplemental Agreement dan Lease Agreement, dan kata sepakat telah pun dicapai di mana pihak TCB bersetuju untuk memenuhi semua terma dan syarat yang diputuskan.
Bagi perjanjian kali ini juga, Kerajaan Negeri turut menimbang tara dengan memberi pengurangan melalui hapuskira pajakan sewa dan sumbangan utiliti bagi tahun 2021 oleh kepada TCB.
Dalam satu majlis pada hari ini, telah berlangsungnya pertukaran perjanjian pajakan baharu bersama penyerahan dua mock cheque bagi bayaran khas kepada Kerajaan Negeri Pahang sebanyak RM3,509,554.40.
Majlis Penyerahan Perjanjian Pajakan Dan Penyelenggaraan Tanah Mutiara Taman Negara antara Pemegang Amanah Taman Negara (Pahang) dengan THR Hotel (Kuala Tahan) Sdn Bhd disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail disaksikan oleh barisan Exco Kerajaan Negeri Pahang di Majlis Perbadaran Bentong (MPB).
Ia meliputi bayaran kadar sewaan pajakan bagi tahun semasa merangkumi tahun 2022 dan 2023 dengan jumlah sebanyak RM1,295,040 dengan jumlah keseluruhan yang diterima oleh Kerajaan Negeri adalah sebanyak RM4,804,594.40. – PAHANGMEDIA