Oleh : Fansurina Abdullah
ROMPIN, 8 MAC 2023 : Satu kajian perlu dilaksanakan bagi membolehkan pembinaan jalan baharu yang lebih kukuh dapat dibina di laluan utama FELDA Selancar, Rompin yang runtuh ekoran limpahan air deras disebabkan hujan lebat baru-baru ini.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bertitah, jalan berkenaan perlu dibina semula supaya dapat digunakan seperti biasa.
“Saya berharap agar satu kajian dapat dibuat setelah keadaan mengizinkan kerana jalan yang dilalui perlu dibina semula supaya jalan supaya dapat digunakan seperti biasa kerana bailey bridge ini akan sekat perjalanan atau kelancaran perjalanan kereta dan lori,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian selepas berkenan mendengar taklimat oleh Pegawai Daerah Rompin, YH Dato’ Ahmad Nasim Dato’ Haji Mohd Sidek di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Leban Chondong di sini hari ini.
Turut berangkat ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan YAM Tengku Panglima Raja Tengku Amir Naseer Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Hadir sama ialah Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Tuan Ir Razali Kassim, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari Hussain, Ketua Polis Pahang, CP Dato’ Sri Ramli Mohamed Yusoof, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Kolonel (PA) Che Adam A. Rahman dan Pegawai Daerah Rompin, YH Dato’ Ahmad Nasim Dato’ Haji Mohd Sidek.
Sementara itu, baginda bertitah, tindakan pantas oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) telah membina satu jambatan bailey sementara yang membolehkan kira-kira 12,000 penduduk sekitar melaluinya sebelum jalan baharu dibina oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) nanti.
“Dalam pada itu saya juga nak mengucapkan terima kasih kepada pihak JKR dan pihak ATM yang telah dapat melaksanankan pembinaan bailey bridge di Selancar dan saya harap semua pihak dapat mengguna dengan sebaik yang mungkin. Mudah-mudahan ia juga dapat memberi sedikit sebanyak keselesaan buat sementara ini,” titah baginda.
Pada kunjungan itu, baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada semua mangsa terjejas banjir di PPS berkenaan.
– PAHANGMEDIA