Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 7 MAC 2023 : Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) menyasarkan RM9.5 bilion pelaburan komited ke Pahang pada tahun ini iaitu peningkatan lebih 40 peratus berbanding RM5.5 bilion tahun lepas.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, jumlah itu membabitkan pelaburan berpotensi dalam sektor pembuatan, perniagaan tani, pelancongan, minyak, gas, dan petrokimia, serta sektor tenaga boleh diperbaharui.
“Dalam dua bulan pertama tahun ini, ECERDC telah mencapai RM2.07 bilion dalam pelaburan komited di Pahang.
“Ini adalah hasil usaha promosi intensif ECERDC dan kerjasama erat dengan Kerajaan Negeri Pahang, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

“Saya menzahirkan keyakinan bahawa ECERDC akan mengekalkan momentum pelaburan dan meningkatkan aktiviti promosi pelaburannya untuk menarik lebih banyak pelaburan yang berkualiti dan bernilai tinggi ke negeri Pahang,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, projek dan inisiatif strategik yang dirancang melibatkan penambahbaikan infrastruktur dan program pembangunan modal insan seiring usaha promosi pelaburan.
“Ketika saya mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER Pahang di Putrajaya pada hari ini, ahli jawatankuasa ICC telah diberi taklimat mengenai status inisiatif pembangunan industri kenderaan rekreasi (RV) di Malaysia, termasuk lawatan bulan lepas oleh pengurusan tertinggi daripada syarikat pengeluar RV Jerman, pengeluar komponen RV dan penganjur pameran perdagangan karavan ke Taman Automotif Pahang (PAP) dan Taman Teknologi Pahang (PTP) untuk meneroka potensi pelaburan dalam pemasangan dan pembuatan RV di Wilayah ECER semasa lawatan kerja selama tiga hari dari 7 hingga 9 Februari 2023,” katanya.
Beliau berkata, ECERDC juga kini dalam usaha “Mencipta Destinasi” bagi merancakkan sektor pelancongan dan memacu ekonomi tempatan, kini sedang menaik taraf Pantai Hiburan Rompin.
“Projek ini merangkumi pembinaan pintu masuk, menara tinjau, gazebo, kaunter tiket dan kemudahan awam lain. Malah, Pantai Hiburan Rompin juga telah dikenal pasti sebagai lokasi Taman Kenderaan Rekreasi (RV) pertama di Wilayah ECER.
“Antara projek ECERDC lain yang sedang dijalankan termasuklah kerja-kerja menaik taraf Jeti Kg. Salang, Pulau Tioman, paip agihan air dari Kemaman ke Gebeng dan pembangunan Pantai Hiburan Rompin,” katanya. – PAHANGMEDIA