YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika melawat seorang mangsa banjir di Rompin

WANG BANTUAN MANGSA BANJIR KEKAL RM500

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

ROMPIN, 06 MAC 2023 : Wang Bantuan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri kepada mangsa yang terlibat banjir di negeri ini kekal RM500 bagi setiap Ketua Isi Rumah (KIR) setakat ini.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata Prosedur Operasi Standard (SOP) yang sama seperti banjir sebelum ini turut terpakai kepada sukarelawan yang ingin berkhidmat ke kawasan terjejas banjir.

“Bantuan seperti biasa. Setakat hari ini tiada perubahan SOP, maknanya kita kekal, kalau dulu mereka yang berpindah akan dapat, kita akan bagi perkara yang sama. Jumlah kekal seperti dulu juga setakat hari ini.

“Sama, semua sama tiada perubahan (sukarelawan juga wajib berdaftar dengan PKOB (Pusat Kawalan Operasi Bencana) seperti mana SOP sebelum ini), malah kita akan permudahkan lagi.

“Dan kita juga telah minta supaya sukarelawan untuk mencuci rumah-rumah yang terkesan akibat banjir akan datang ke sini apabila keadaan airnya telah surut. Maknanya kita bantu mereka untuk bersihkan rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SMK Tanjung Gemok di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain; dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pahang, YH. Dato’ Ir. Dr. Wan Mohammad Zaidi Wan Isa.

Beliau berkata banjir yang berlaku di daerah Rompin ini disifatkan sebagai luar jangka kerana banyak kawasan yang sebelum ini tidak pernah terlibat banjir turut menjadi mangsa banjir kali ini.

“Jadi kepada mangsa-mangsa banjir semua saya harap mereka dapat sabar, tabah menghadapai dugaan ini kerana ini adalah di luar jangka.

“Dan ada yang mengatakan kepada saya tadi, 55 tahun beliau menduduki rumah yang sekarang ini beliau duduki, belum pernah dinaiki air, tapi kali ini dinaiki air. Jadi ini adalah sesuatu yang kita tidak jangkakan,” katanya.

Beliau turut meminta kesemua mangsa banjir di negeri ini supaya mematuhi arahan pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.

“Jadi kepada semua, saya harap mendengar arahan, nasihat daripada pihak berkuasa. Sekiranya pihak berkuasa arah berpindah, pindah. Dan sekiranya ada yang nak balik ke rumah tapi pihak berkuasa mengatakan jangan balik lagi, jangan balik lagi ya,” katanya.

Sebanyak 2,742 mangsa banjir ditempatkan ke 14 PPS di daerah Rompin manakala Pahang merekodkan 2,771 mangsa melibatkan Rompin dan Maran setakat 4 petang hari ini. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Share this: