Oleh : Fansurina Abdullah
CAMERON HIGHLANDS, 4 MAC 2023 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan bercemar duli menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Tapak Surau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands.
Majlis tersebut telah diadakan di IPD Cameron Highlands kira-kira jam 3.30 petang tadi.
Turut berangkat ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.
Hadir sama ialah YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, YB. Dato’ Ramli Dato’ Mohd Noor, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak, Timbalan Ketua Polis Negara, YH. Dato’ Razaruddin Hussain, barisan Exco Kerajaan Pahang, ketua-ketua jabatan dan pemimpin setempat.
Pada program itu, Seri Paduka Baginda turut berkenan mendengar taklimat daripada Timbalan Ketua Polis Negara, YH. Dato’ Razaruddin Hussain berkenaan pembinaan surau tersebut.
Surau IPD Cameron Highlands ini menelan belanja sebanyak RM5 juta yang dapat memuatkan seramai 200 jemaaah dalam satu-satu masa.
Surau ini dibina bagi menyediakan kemudahan asas yang selesa untuk kegunaan warga IPD Cameron Highlands selain menyediakan ruang letak kenderaan kakitangan dan orang awam.
Rumah ibadat IPD Cameron Highlands ini akan dibina pada tahun 2023 dan dijangka siap menjelang tahun hadapan. – PAHANGMEDIA