YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika merasmikan Majlis Pelancaran Pelan Strategik Jabatan Agama Islam Pahang 2023-2027 dan Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sekolah Menengah Agama Kerajaan Negeri Pahang Kali Ke-21 Tahun 2021/2022 di Hotel Sri Manja Boutique di Kuantan
JAIP LANCAR PELAN STRATEGIK JABATAN AGAMA ISLAM PAHANG 2023-2027
Oleh : Fansurina Abdullah Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN,2 MAC 2023 : Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) melancarkan Pelan Strategik Jabatan Agama Islam Pahang 2023-2027 dalam usaha merangka dan merancang dasar, menentukan program dan tindakan bagi mencapai matlamat agensi dalam menyumbang kepada pencapaian agenda perkhidmatan awam serta negara.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, menerusi pelan strategik yang komprehensif membolehkan semua institusi di bawah JAIP dapat diperkasakan termasuklah pejabat-pejabat Agama Islam daerah, Masjid Negeri, Masjid-masjid Daerah dan Sekolah-sekolah Agama Kerajaan Negeri.
“Malah segala urusan yang berkait dengan urusan Syariah seperti permohonan perkahwinan, perceraian dan permohonan persijilan halal akan dapat dipertingkatkan dari semasa ke semasa.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail
“Saya berharap semua warga JAIP dapat bekerja berdasarkan lima teras utama yang telah ditetapkan iaitu Kelestarian Pengurusan Berkualiti, Pemerkasaan Kompetensi Sumber Manusia, Pemantapan Sistem Penyampaian, Pusat Rujukan dan Pengurusan Pengetahuan Hal Ehwal Islam dan Pembentukan Ummah Rabbani,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian pada Majlis Pelancaran Pelan Strategik Jabatan Agama Islam Pahang 2023-2027 dan Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sekolah Menengah Agama Kerajaan Negeri Pahang Kali Ke-21 Tahun 2021/2022 di Hotel Sri Manja Boutique di sini hari ini.
Beliau berharap agar JAIP mampu menjadi pusat rujukan bukan sahaja di peringkat negeri dan negara tetapi juga di peringkat antarabangsa. – PAHANGMEDIA