Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 01 MAC 2023 : Sebanyak 171 mangsa banjir telah dipindahkan ke empat Pusat Pemindahan Banjir Sementara (PPS) di negeri ini di Rompin dan Maran.
Berdasarkan maklumat daripada info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tiga PPS yang dibuka di daerah Rompin adalah di Balairaya Rekoh yang menempatkan 122 mangsa, Dewan Orang Ramai Bukit Ibam (35 mangsa), dan Balairaya Bandar Pewira Jaya (7 mangsa).
Manakala di Maran pula, sebuah PPS dibuka iaitu di Balairaya Jengka 6 yang menempatkan tujuh orang mangsa banjir daripada sebuah keluarga.
Kesemua mangsa yang dipindahkan melibatkan 49 keluarga yang terdiri daripada 68 lelaki dewasa, 56 perempuan dewasa, 25 kanak-kanak lelaki, 19 kanak-kanak perempuan, 16 warga emas, serta tiga bayi lelaki.
Sementara itu, menurut maklumat daripada publicinfobanjir setakat ini menunjukkan tiga sungai utama di negeri ini berada pada tahap bahaya iaitu di Sungai Dong, Raub; Sungai Keratong di Jambatan Baharu Keratong, serta Sungai Pukin, di Rompin.
Manakala di dua sungai merekodkan paras amaran melibatkan Sungai Tembeling di Kampung Merting, Jerantut; dan Sungai Kechau di Kampung Dusun, Lipis.
Lima sungai lagi berada pada paras waspada dengan empat daripadanya menunjukkan trend menaik iaitu Kuala Tahan, Jerantut; Sungai Serting di Jambatan Padang Gudang, Bera; Sungai Jempol di Rancangan Felda Jengka, Maran; dan Sungai Tembeling di Kuala Tahan, Jerantut.
Manakala Sungai Maran di Bandar Maran, Maran yang berada pada paras waspada menunjukkan trend menurun setakat petang ini.
Setakat ini enam negeri termasuk Pahang telah membuka PPS hari ini melibatkan negeri Johor dengan 10,224 mangsa; Sarawak (274 mangsa); Sabah (108 mangsa); Negeri Sembilan (40 mangsa); dan Melaka (3 mangsa). -PAHANGMEDIA