YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail
HUTANG 58 PESERTA RANCANGAN TANAH PINGGIR DILUPUSKAN
KUANTAN, 27 FEBRUARI 2023 : Kerajaan Pahang menerusi Mesyuarat Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) membuat keputusan untuk melupuskan hutang 58 orang peserta Rancangan Tanah Pinggir (RTP) di negeri ini berjumlah RM32,790.15.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, langkah ini diambil kerana kebanyakan peserta yang masih mempunyai hutang tertunggak tidak dapat dikesan disebabkan ketiadaan alamat tempat tinggal yang lengkap serta telah berusia hampir satu abad dan ada yang telah meninggal dunia.
“Untuk itu, sebagai sebuah Kerajaan Negeri yang prihatin serta cakna terhadap nasib rakyat, keputusan ini diambil untuk kebaikan bersama,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Dalam pada itu beliau berharap dengan langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri ia akan memberi kelegaan kepada peserta dan juga waris peserta.
“Saya berdoa semoga Allah SWT melimpahkan rahmat serta mempermudahkan segala urusan kita untuk terus memastikan Negeri Pahang dan rakyatnya hidup dalam kemakmuran dan kesejahteraan,” katanya.
RTP mula dibuka pada tahun 1961 hingga 1967 oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang di mana pembangunan RTP ini berasaskan kepada konsep pembukaan tanah secara berkelompok di bawah Akta Tanah GSA (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 dengan diusahakan tanaman pokok getah.
Terdapat sebanyak 131 buat RTP telah dibuka di seluruh Negeri Pahang kecuali di Cameron Highlands di mana setiap peserta yang terpilih pada ketika itu telah ditawarkan lot tanah seluas 2.83 hektar (6 ekar) dan dikenakan bayaran balik di antara RM3,000 hingga RM3,500 dengan tempoh bayaran balik selama 15 tahun. – PAHANGMEDIA