Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 24 FEBRUARI 2023 : Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail sah bertanding bagi jawatan Naib Presiden UMNO bagi pemilihan parti itu bulan depan.
Beliau yang juga YAB. Menteri Besar Pahang memaklumkan telah menghantar borang pencalonan bagi jawatan berkenaan ke Ibu Pejabat UMNO Malaysia di WTC, Kuala Lumpur, pada jam 3 petang tadi dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau berkata hasrat beliau bertanding bagi jawatan tersebut bagi membantu serta mencurahkan khidmat bakti kepada parti sekali gus mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti terbesar orang Melayu ini.
“Saya insaf dan sedar bahawa kedudukan, imej dan prestasi UMNO semakin merosot di mata rakyat terutama selepas PRU-15.
“Mudah-mudahan bersandarkan kepada usaha, doa dan harapan, ianya mampu untuk melakukan sesuatu demi kelangsungan perjuangan parti,” katanya dalam satu kenyataan media tersebut.

Beliau turut memohon agar akar umbi UMNO untuk menilai pengalaman dan sumbangan yang telah beliau berikan kepada parti selama ini terutamanya ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.
“Saya memohon akar umbi UMNO untuk menilai pengalaman dan sumbangan yang telah saya berikan kepada parti selama ini, khususnya ketika mencetuskan kemenangan pertama parti di PRK Parlimen Cameron Highlands, selepas PRU-14.
“Kebangkitan di Cameron Highlands ini kemudiannya diteruskan di PRK-PRK lain termasuklah di Semenyih, Rantau, Tanjung Piai, Kimanis, Chini dan Slim River.
“UMNO Pahang banyak membantu parti ketika 22 bulan pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan serta membantu kemenangan parti dalam Pilihan Raya Negeri di Sabah, Melaka dan Johor,” katanya
Menurut beliau lagi, ini termasuklah kejayaan pantas yang dicapai oleh UMNO Pahang dalam mencipta kemenangan di pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15.
“Terbaru, UMNO Pahang berjaya bangkit dengan pantas selepas PRU-15, dengan mencipta kemenangan di DUN Tioman yang menjadi benteng terakhir parti ketika mana tsunami politik melanda negara, walaupun ramai yang menjangkakan BN akan tewas teruk seperti mana yang berlaku di Padang Serai.
“Malah, pada PRU-15, UMNO Pahang berupaya mempertahankan 17 kerusi DUN yang merupakan bukti keupayaan dan kemampuan UMNO Pahang meskipun tsunami melanda negara.
“Ekoran daripada kejayaan-kejayaan ini serta hasil perbincangan bersama rakan-rakan perjuangan, mereka telah meminta saya untuk meneruskan khidmat bakti dan berkongsi formula kemenangan ini kepada parti dengan cara yang lebih bermakna iaitu melalui jawatan Naib Presiden,” katanya.
Beliau turut berharap hasil semangat dan iltizam serta segala pengalaman yang ada, beliau bertekad untuk membantu kepimpinan parti terutamanya Presiden dan Timbalan Presiden bagi memastikan UMNO kembali bangkit memenangi hati rakyat.
Jawatan Naib Presiden UMNO disandang bekas Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, Dato’ Seri Mahdzir Khalid dan Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin dan setakat ini hanya Dato’ Seri Ismail Sabri tidak mengumumkan akan mempertahankan jawatan berkenaan.
Penentuan jawatan ini akan dibuat ketika mesyuarat perwakilan bahagian di seluruh negara yang akan berlangsung pada 18 Mac depan.
Hanya tiga individu yang memperoleh undi tertinggi daripada bahagian layak mengisi tiga tempat bagi jawatan Naib Presiden UMNO bagi penggal 2023-2026 ini. -PAHANGMEDIA