Datuk Bandar MBK, YH. Dato’ Hamdan Hussin pada selepas Majlis Menandatangani Ikrar Integriti Bebas Rasuah (IBR) Bersama Rakan Niaga Majlis Bandaraya Kuantan di Dewan Bandaraya hari ini.

MBK KENAKAN TINDAKAN TEGAS RAKAN NIAGA, KAKITANGAN TERLIBAT RASUAH

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 23 FEBRUARI 2023 : Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) akan mengenakan tindakan tegas kepada mana-mana rakan niaga dan kakitangannya yang didapati melakukan kesalahan rasuah.

Datuk Bandar MBK, YH. Dato’ Hamdan Hussin berkata, ia selari dengan misi dan visi MBK dalam menegakkan piawaian tinggi dalam tadbir urus bagi mengurangkan dan membasmi gejala rasuah.

“Saya lihat kekuatan yang ada untuk Kuantan khususnya untuk menjadi sebuah bandar yang mampan bukan sahaja dalam sudut pengurusan dan fizikal tetapi apa yang penting kemampanan dan kelestarian harus diterjemahkan dalam sudut pelan pengurusan, prosedur, dan tatacara kewangan.

“Oleh itu, untuk meningkatkan kecekapan dan mewujudkan satu environment yang berkualiti ini (amalan bebas rasuah) harus menjadi budaya dalam Majlis Bandaraya Kuantan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Ikrar Integriti Bebas Rasuah (IBR) Bersama Rakan Niaga Majlis Bandaraya Kuantan di Dewan Bandaraya hari ini.

Datuk Bandar MBK, YH. Dato’ Hamdan Hussin

Menurut beliau, pihaknya juga telah memberi peringatan kepada semua pihak berkenaan gejala rasuah sejak dahulu lagi dan bukannya baru bermula hari ini.

“Sebelum ini pun ingatan yang serius telah kita beri kepada semua pihak, bukan hari ini baca ikrar baru kita nak melaksanakan (tindakan sekiranya terlibat gejala rasuah).

“Ini sebenarnya prosedur dan peraturan jabatan yang telah kita amalkan tetapi hari ini, dengan ikrar ini lebih simbolik dalam meningkatkan kesedaran bersama dan untuk terus menerapkan dan memperkukuhkan apa yang ada dalam jabatan,” katanya.

Menurut beliau, MBK juga dalam perancangan ke arah pensijilan MS ISO 37001:2016 dengan sistem pengurusan antirasuah (ABMS) yang merupakan kawalan dalaman bagi mengesan, mencegah, mengendali, menguatkuasa, menilai, serta menambahbaik langkah pengurusan anti rasuah secara berkesan. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram