Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan melawat pusat bersalin bernilai RM2.92 juta di Klinik Kesihatan Tekek di Pulau Tioman.

KDYMM YANG DIPERTUAN AGONG BERKENAN CEMAR DULI LAWAT PUSAT BERSALIN DI TEKEK

Oleh : Ain Nadhirah Basha

TIOMAN, 19 FEBRUARI 2023 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mencemar duli melawat pusat bersalin bernilai RM2.92 juta Klinik Kesihatan Tekek.

Pusat bersalin berkenaan merupakan titah Seri Paduka Baginda semasa keberangkatan ke Pulau Tioman pada 29 Mac hingga 31 Mac tahun lepas bagi memudahkan penduduk di pulau ini untuk bersalin tanpa perlu ke Rompin atau Mesing, Johor.

Pusat bersalin yang disumbangkan oleh MUIP ini melibatkan peruntukan aset sebanyak RM2.37 juta dan RM545,000 bagi menaiktaraf bangunan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan merasmikan pusat bersalin bernilai RM2.92 juta di Klinik Kesihatan Tekek di Pulau Tioman.

Baginda yang tiba pada 11.50 pagi telah berkenan mendengar persembahan taklimat berkenaan perkhidmatan kesihatan di Klinik Kesihatan Tekek oleh Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, YH. Dato’ Indera Dr. Nor Azimi Yunus.

Turut berangkat mengiringi Seri Paduka Baginda, Timbalan Yang di-Pertua MUIP, YAM. Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Naseer Ibrahim Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; dan YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut hadir, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, YB. Tuan Lukanisman Awang Sauni; YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak; Ketua Pengarah Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Hisham Abdullah; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; dan barisan exco Kerajaan Negeri Pahang.

Dalam sembah taklimat oleh YH. Dato’ Indera Dr. Nor Azimi, beliau turut memaklumkan Klinik Kesihatan Tekek merupakan klinik kesihatan pertama di negara ini yang menerima Advanced portable ventilator, High-end Ultrasound machine dan Cardiac Monitor Defibrillator.

“Terkini, sebanyak 45 item daripada 78 item, telah diterima, dan selebihnya dalam proses penghantaran. Antara set utama yang diterima adalah Advanced portable ventilator, High-end Ultrasound machine dan Cardiac Monitor Defibrillator.

“Penempatan aset ini di klinik kesihatan merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia. Sebuah Ambulan Pacuan Empat Roda telah diterima pada 17 Februari yang lalu. Manakala penerimaan aset-aset lain dijangka selesai pada akhir Mac 2023,” katanya.

Selain itu, dalam sembah taklimat berkenaan beliau berkata Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia telah meluluskan pemasangan talian jalur lebar yang lebih stabil di semua fasiliti kesihatan di pulau ini.

“Patik mohon menyembah maklum ke sisi pengetahuan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku bahawa, Klinik Kesihatan Tekek dan ketiga-tiga Klinik Desa di Pulau Toman telah dilengkapi dengan talian internet jalur lebar MyGovNet.

“Terkini, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia telah meluluskan pemasangan talian jalur lebar yang lebih stabil di semua fasiliti kesihatan di Pulau Tioman. Kebolehcapaian internet di fasiliti kesihatan seperti ini adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia.

“Dengan kemudahan tersebut, konsultasi secara sidang video bersama pakar di Klinik Kesihatan Tekek dan Jururawat di Klinik Desa dapat dilaksanakan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan Seri Paduka Baginda bahawa Klinik Kesihatan Tekek juga telah melaksanakan sistem pengurusan pesakit secara tanpa kertas iaitu Clinical Management System (CMS) pada 14 Februari lepas.

Seri Paduka Baginda turut berkenan menyerahkan kunci ambulans pacuan empat roda yang diserahkan oleh Timbalan Yang di-Pertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), YAM. Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Naseer Ibrahim Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum menyerahkan kepada YB. Tuan Lukanisman. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram