Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menyerahkan kunci rumah kurniaan Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) kepada penerima di Kampung Tanjung Pulai di Pekan.

KDYMM YANG DI-PERTUAN AGONG BERKENAN SERAH KUNCI RUMAH YASA

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Salman Mohd Zaki

PEKAN, 15 FEBRUARI 2023 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menyerahkan kunci rumah kurniaan Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) kepada penerima di Kampung Tanjung Pulai di sini.

Seri Paduka Baginda yang tiba pada 11.55 pagi memandu sendiri kenderaan ke kediaman berkenaan dan disambut oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

Ketika kunjungan berkenaan, Seri Paduka Baginda berkenan menyerahkan kunci rumah kepada Encik Mohd. Khairi Othman yang juga merupakan Orang Kurang Upaya (OKU).

Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan sebelum meninjau rumah setingkat jenis bertiang dengan keluasan 660 kaki persegi yang mempunyai tiga bilik, satu bilik air selain dilengkapi ruang makan dan perabot.

Semasa kunjungan tersebut, baginda turut berkenan menyantuni 15 orang penduduk kampung yang terdiri daripada asnaf, warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU) dan ibu tunggal selain turut mengurniakan sumbangan wang tunai bagi meringankan beban mereka.

Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak; Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Johari Harun; Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff; Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib; Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang, YBrs. Ir. Hafizah Zakaria; dan Pegawai Daerah Pekan, YH. Dato’ Zaliza Zulkipli.

Pembinaan rumah kurniaan Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) dengan luas keseluruhan 78 meter persegi milik Encik Mohd Khairi ini dibina dengan ciri mesra OKU dimana kawasan di dalam rumah berkenaan serta laluan ke rumah dibina bagi memudahkan pergerakan Encik Mohd Khairi.

Selain itu, rumah YASA yang berharga RM150,000 ini turut menempatkan sebuah bilik serbaguna seluas 97 kaki persegi (9 meter persegi) yang akan dijadikan kedai untuk Encik Mohd Khairi berniaga. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram